KUCHING, 3 Ogos — Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berharap kenalan dan mereka yang ingin mengucapkan tahniah sempena ulang tahun kelahiran beliau ke-72 esok, tidak perlu membeli iklan di akhbar.

Pejabat Premier Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan walaupun Abang Johari menghargai niat baik tersebut namun beliau tidak mahu mereka membelanjakan wang untuk iklan seumpama itu lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang sukar ketika ini dan keperluan membandung tekanan inflasi.

“Namun begitu, beliau ingin mengucapkan terima kasih kepada semua atas ingatan murni mereka sempena ulang tahun kelahirannya ke-72,” menurut kenyataan itu. 

Abang Johari membuat permintaan sama tahun lepas dengan memaklumkan mereka yang ingin meletakkan iklan bagi mengucapkan tahniah kepadanya agar menyalurkan wang berkenaan ke Tabung Bencana COVID-19 Negeri.

Abang Johari dilahirkan pada 4 Ogos 1950 di Limbang, Sarawak dan beliau merupakan anak kepada Gabenor pertama Sarawak, Tun Abang Openg Abang Sapiee.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here