KANGAR, 4 Ogos —  Islam mengajar umatnya agar saling berkasih sayang dan mengikat tali persaudaraan berlandaskan akidah, titah  Raja Perlis Tuanku Syed Sirajudin Syed Jamalullail.

“Tema Maal Hijrah pada tahun ini ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’ dilihat sangat signifikan dan mampu memberikan impak yang besar dalam menjalani kehidupan pada masa kini,” titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Arau hari ini.

Kenyataan itu menyebut baginda bertitah demikian pada Majlis Maal Hijrah Peringkat Negeri Perlis Tahun 1444H/2022M di Hotel Seri Malaysia hari ini.

Berangkat sama Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

“Kebersamaan dan kemesraan antara kita mestilah diperkukuhkan khususnya dalam mendepani cabaran ketika ini.

“Lebih-lebih lagi terdapat pelbagai isu berkaitan penghinaan terhadap agama, penyebaran maklumat palsu berkaitan agama, penularan semula khurafat dan tahyul khususnya di media sosial sangat memerlukan kesatuan  umat Islam dalam menanganinya,” titah baginda.

Baginda bertitah umat Islam di negeri ini mestilah bersatu di bawah Manhaj Ahlus Sunnah Wal Jamaah serta berpegang teguh dengannya.

“Bagi memastikan hasrat ini dicapai, jentera Kerajaan Negeri khususnya agensi-agensi agama negeri hendaklah komited untuk menyatukan dan mengeratkan struktur masyarakat tanpa mengira kaum dan agama,” titah baginda.

Titah baginda agensi-agensi agama negeri mestilah bergerak bersama di bawah payung Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam menggerakkan agenda dakwah dan pengurusan hal ehwal agama Islam di dalam negeri.

Pengasas dan presiden Pertubuhan Al Khaadem Malaysia Datuk Hussain Yee dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah, dan beliau menerima wang tunai RM10,000, plak serta sijil penghargaan.

Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) Prof Datuk Dr Mohd Radhi Othman pula dipilih menerima Anugerah Maal Hijrah yang membolehkan beliau membawa pulang wang tunai RM5,000 plak serta sijil penghargaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here