SEOUL, 5 Ogos — Berapa syarikat membatalkan lebih 400 penerbangan ke Taipei dan mengalihkan 18 laluan penerbangan lain bagi mengelakkan ruang udara di mana China kini melakukan latihan ketenteraan di Taiwan.

Laluan berkenaan ditutup kepada penerbangan komersial susulan peningkatan aktiviti ketenteraan selepas lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi, ke Taiwan.

China mengerahkan sejumlah besar pesawat dan menembak peluru hidup berdekatan Taiwan semalam, ketika melaksanakan latihan ketenteraan terbesarnya di Selat Taiwan, yang dijadualkan berterusan sehingga tengah hari waktu tempatan Ahad ini.

Latihan itu membabitkan enam zon, merangkumi hampir keseluruhan Taiwan, sekali gus menjejaskan penerbangan komersial dan perjalanan antara Asia Tenggara serta Timur Laut Asia.

Global Times melaporkan, penganalisis pertahanan berkata latihan ketenteraan itu ‘belum pernah berlaku sebelum ini’ dan peluru berpandu akan terbang merentasi Taiwan buat pertama kali, sesetengahnya hanya 20 kilometer (km) dari sempadan negara itu.

“Ini adalah pertama kali Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) Chin melancarkan artileri jarak jauh merentasi Selat Taiwan,” katanya.

Kumpulan Industri penerbangan, OPSGROUP, yang berkongsi maklumat risiko penerbangan, berkata Latihan ketenteraan China akan menjejaskan sebahagian besar laluan utama antara Asia Tenggara serta Timur Laut Asia dan pengalihan laluan akan membabitkan penggunaan bahan api berlebihan dan menambah masa perjalanan.

Rabu lalu, Taiwan berkata ia sedang berunding dengan negara jiran Jepun dan Filipina bagi mencari laluan alternatif, menurut laporan media rasmi, Central News Agency (CNA).

Latihan itu juga dijangka menjejaskan Selat Taiwan, yang juga antara zon perkapalan paling sibuk dunia, sekali gus memburukkan lagi rantaian bekalan global.

Menurut penganalisis, latihan ketenteraan itu dilakukan sekitar laluan perkapalan yang sering digunakan untuk menghantar bekalan peralatan elektronik oleh kilang-kilang Asia Timur ke pasaran global selain laluan penghantaran utama gas.

Berdasarkan data yang dikumpul Bloomberg, hampir separuh daripada kapal kontena dunia melalui Selat Taiwan yang memisahkan wilayah kepulauan itu dengan tanah besar China dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.

Pengkaji di Sekolah Pengajian Antarabangsa Singapura S Rajaratnam, James Chan, berkata data membuktikan betapa sibuknya zon perkapalan di kawasan itu.

“Gangguan terhadap rantaian bekalan global yang sebelum ini sudah pun terjejas akibat pandemik COVID-19 dan perang Russia-Ukraine boleh bertambah buruk dengan perkembangan semasa ini,” katanya.

Penganalisis ekonomi, Nick Marro, pula berkata penutupan sementara laluan perkapalan itu bukan saja memberi kesan kepada Taiwan, tetapi juga negara jiran seperti Jepun dan Korea Selatan.

Biro Pelabuhan dan Maritim Taiwan turut memberi amaran kepada sejumlah kapal di kawasan utara, timur dan selatan supaya mengelak laluan yang digunakan China untuk latihan ketenteraan itu.

Dalam pada itu, tentera China dilapor melancarkan 11 peluru berpandu ke sekitar perairan pantai timur laut dan barat daya Taiwan.

Kerajaan Jepun berkata, peluru berpandu China turut mendarat di perairan negara itu dan menggesa latihan berkenaan ‘dihentikan segera’.

Komander Teater Timur Tentera China, dalam satu kenyataan menjelaskan latihan itu memberikan tumpuan kepada sesi latihan utama termasuk sekatan bersama, serangan sasaran laut, sasaran darat serta operasi kawalan udara.

Menyusuli tindakan itu, Kementerian Pertahanan Taiwan mengaktifkan sistem pertahanan dan memantau rapat perkembangan semasa.

Kementerian Luar Taiwan menuduh China mengikut contoh Korea Utara dengan sengaja melancarkan ujian peluru berpandu berhampiran perairan negara lain. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here