KUALA LUMPUR, 9 Ogos — Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834) yang diwartakan  pada 25 Januari lepas dapat membantu kerajaan menjaga keselamatan dan kedaulatan negara terutama selepas insiden penemuan objek dipercayai serpihan  roket Long March 5B milik China di Sarawak baru-baru ini. 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata melalui pelaksanaan akta itu, penguasa angkasa Lembaga Angkasa Malaysia dapat berkolaborasi dengan masyarakat antarabangsa untuk memastikan negara yang melancarkan roket atau satelit ke angkasa mengambil tanggungjawab sekiranya berlaku kemalangan di negara ini ekoran pelancaran berkenaan.

“Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ada bertanyakan saya berhubung penemuan objek di Sarawak baru-baru ini. Beliau berkata kali ini mungkin ia jatuh di muka bumi (Malaysia) atau tempat kita yang tiada orang namun suatu masa nanti kalau jatuh ke atas rumah atau kereta penduduk, ia akan menimbulkan bencana.

Jadi sebelum berlaku bencana kita kena pastikan undang-undang angkasa (Akta 834) kita perlu kukuh dan mesti ada kekuatan untuk menjaga keselamatan kedaulatan negara,” katanya pada sidang media  selepas Majlis Pelancaran Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara di sini hari ini. 

Beliau berkata di bawah Lembaga Angkasa Malaysia, seorang penguasa angkasa berperanan  mengendalikan  elemen pelancaran seperti permit pelancaran dan perakuan objek yang diangkat ke angkasa. 

Dr Adham berkata langkah itu penting kerana ketika ini terdapat lebih 2,000 satelit yang masih aktif mengelilingi orbit angkasa, sekali gus memungkinkan banyak serpihan berada di sekelilingnya.

Mengenai analisis berhubung objek yang ditemukan itu, beliau berkata hasil analisis akan dimaklumkan pada hujung minggu ini.

“Serpihan objek kini yang sudah diambil oleh pasukan polis dan bomba sedang dianalisis oleh Jabatan Kimia dengan dibantu sepenuhnya Agensi Angkasa Malaysia,” katanya.

Minggu lepas, pihak berkuasa menemukan dua objek masing-masing di Kampung Nyalau, Bintulu dan Kampung Sepupok Lama di Niah, Miri, Sarawak selepas Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengesahkan kemasukan semula serpihan roket berkenaan yang dikesan berlaku pada 12.55 tengah malam Sabtu lepas di sekitar Laut Sulu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here