PUTRAJAYA, 23 Mei (Bernama) — Sebanyak 48 kes baharu positif COVID-19 direkod hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kini 7,185 kes, dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,158 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada 48 kes baharu yang dilaporkan, empat adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala 44 kes adalah penularan tempatan.

“Daripada 44 kes penularan tempatan itu, 25 kes adalah bukan warga Malaysia dengan 21 kes telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Semenyih,”  katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan COVID-19, di sini, hari ini.

Beliau berkata terdapat 53 kes pulih daripada COVID-19 pada hari ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes yang pulih sepenuhnya daripada wabak itu dan discaj dari wad adalah  5,912 kes (82.3 peratus).

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata tiada sebarang kes kematian dicatat menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak 115 kes atau 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here