PUTRAJAYA, 19 Ogos — Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah mengemukakan sebarang pertanyaan kepada AmBank berhubung dana dalam jumlah yang besar sentiasa keluar masuk ke akaun bank peribadinya sehingga beliau menutup akaunnya pada 2015.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V.Sithambaram berhujah bahawa bekas perdana menteri itu tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap bank itu atas dakwaan dana dikredit dan didebit secara salah ke akaunnya.

“Keterangan dua pegawai AmBank iaitu Uma Devi Raghavan dan Joanna Yu Ging Ping menunjukkan Najib tidak pernah membuat sebarang pertanyaan kepada AmBank apatah lagi membuat sebarang aduan berhubung jumlah dana yang besar yang sentiasa keluar masuk akaunnya.

“Malah, perayu (Najib) tidak mempunyai masalah dengan baki banknya sehingga menutup akaunnya pada Mac 2015,” katanya pada prosiding rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman terhadap penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau berhujah demikian di hadapan panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here