BEIJING, 30 Ogos — Persiapan bagi Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-19 yang dijadual berlangsung dari 16 hingga 19 September di Nanning, wilayah Guangxi telah berjaya disempurnakan.

Bertemakan ‘Berkongsi Peluang Baharu RCEP dan Membina Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN 3.0’, Malaysia akan menjadi tetamu utama untuk CAEXPO edisi kali ini.

Status Malaysia sebagai tetamu utama juga bertepatan dengan ulang tahun ke-10 pembinaan Taman Perindustrian Qinzhou di China dan Taman Perindustrian Kuantan di Malaysia iaitu ‘Dua Negara, Dua Taman’ antara China dan Malaysia.

Seiring dengan pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sejak awal tahun ini, pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) versi 3.0 juga bakal bermula.

Pada CAEXPO kali ini, kawasan pameran melibatkan negara-negara asing menyumbang kira-kira 30 peratus, jumlah yang sama sebelum tercetusnya wabak COVID-19.

Untuk rekod, Pusat Ekonomi dan Perdagangan China-ASEAN akan beroperasi secara rasmi, manakala Pusat Produk Istimewa China-ASEAN akan dirasmikan sempena CAEXPO tahun ini, dan ‘CAEXPO on the Cloud’ pula akan diadakan sepanjang tahun.

Menurut statisitik, perdagangan China-ASEAN terus berkembang pesat dengan jumlah perdagangan antara China dan negara-negara ASEAN untuk tujuh bulan pertama 2022 mencecah US$544.9 bilion.

Nilai berkenaan sekali gus menyaksikan peningkatan tahun ke tahun mencecah 13.1 peratus selain turut menyumbang sebanyak 15 peratus daripada jumlah import dan eksport perdagangan asing China.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN selama 13 tahun berturut-turut, dan kedudukan ASEAN sebagai rakan dagang terbesar China semakin kukuh.

Penolong Menteri Perdagangan China, Li Fei berkata bahawa integrasi ekonomi serantau akan terus dipercepatkan.

“RCEP dan Perjanjian Perdagangan Bebas China-Kemboja telah berkuatkuasa dan mencapai hasil yang cukup memberangsangkan.

“Kajian mengenai CAFTA 3.0 juga turut dipercepatkan, sementara rundingan susulan mengenai peningkatan Perjanjian Perdagangan Bebas China-Singapura juga berjalan lancar,” katanya.

Li berkata, pada masa sama, Kawasan Pertumbuhan China-ASEAN Timur, Kerjasama Sub-rantau Lancang-Mekong turut diperhalusi dan diperkukuh, manakala tahap kebebasan dan kemudahan perdagangan serta pelaburan antara China dan negara-negara ASEAN juga telah memasuki era baharu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here