ALOR SETAR, 31 Ogos — Persiapan penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kedah yang akan berlangsung di pekarangan Stadium Darul Aman di sini selama tiga hari bermula Jumaat ini, berada pada tahap yang begitu baik.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata segala persiapan berjalan lancar mengikut seperti yang dirancang pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) selaku kementerian peneraju bagi Jelajah AKM Kedah itu.

“Alhamdulillah, saya tengok persiapan berada tahap cukup baik, dapat diselesaikan sebelum jelajah bermula pada 2 Sept hingga 4 Sept ini. Nampak sudah ada persiapan untuk acara besar dalam khemah, tempat usahawan, tempat (karnival kerjaya) jamin kerja dan pelbagai kementerian yang terlibat juga ada booth (reruai) untuk mereka  pamerkan apa yang kementerian buat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan akhir persiapan Jelajah AKM Kedah di pekarangan stadium itu di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai jelajah itu, Mahdzir berkata kementerian lain yang turut memeriahkan program berkenaan antaranya ialah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Beliau berkata KPLB akan mengetengahkan usahawan desa di bawah kementeriannya untuk mereka memasarkan produk masing-masing pada Jelajah AKM Kedah, dengan ruang khemah besar disediakan kepada golongan itu.

“Bagi (karnival kerjaya) jamin kerja pula, ada dua iaitu peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang TVET (Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional) yang itu pun ada di bawah KPLB terutama MARA (Majlis Amanah Rakyat). Keduanya ialah jaminan kerja yang ditawarkan syarikat untuk orang ramai yang ingin mencari peluang pekerjaan,” katanya.

Selain itu, menurutnya Jelajah AKM Kedah turut diserikan dengan majlis kerohanian iaitu Froum Perdana pada 2 Sept malam dengan penampilan penceramah terkenal iaitu Datuk Badli Shah Alauddin.

“Kita punya hasrat besar (untuk Jelajah AKM Kedah). Kita jemput semua masyarakat Kedah, Perlis dan Pulau Pinang terutama dari Seberang Perai yang agak dekat dengan Alor Setar untuk hadir ke jelajah ini,” katanya yang turut memaklumkan hadiah utama bagi cabutan bertuah pada jelajah itu ialah kereta Perodua Axia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here