SINGAPURA, 5 Sept — Golongan keluarga berpendapatan selesa di republik ini dilaporkan turut berasa semakin terhimpit dengan peningkatan kos sara hidup yang berlaku ketika ini.

Konflik Ukraine-Russia dikatakan menjadi punca yang mengakibatkan beberapa negara Asia termasuk Singapura bergelut dengan inflasi tinggi.

Krisis kos hidup yang menimpa Singapura ketika ini bukan sahaja membelenggu keluarga kelas bawahan, tapi turut melibatkan mereka dari golongan pertengahan, termasuk penduduk yang dikenali Jason Guan.

Memetik laporan South China Morning Post, Guan bekerja sebagai pengurus pembangunan perniagaan dalam industri teknologi kewangan di negara ini.

Keluarganya cukup selesa selepas memperoleh purata pendapatan isi rumah sekitar 12,500 dolar Singapura (RM39,973), iaitu melepasi pendapatan isi rumah median nasional tahun lepas sebanyak 9,520 dolar Singapura (RM30,443).

Pengukur inflasi teras Singapura yang tidak merangkumi penginapan dan pengangkutan persendirian dilaporkan meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh hampir 14 tahun, pada Julai lalu.

Malah, beberapa pemerhati ekonomi menjangkakan republik itu mungkin tidak dapat lari daripada terkena tempias risiko kemelesetan global pada tahun depan.

Keadaan itu menyebabkan keluarga Guan mula mengawal perbelanjaan mereka dengan menghabiskan sebahagian besar masa berada di rumah pada hujung minggu berbanding keluar makan di luar seperti dilakukan sebelum ini.

Katanya, cara ini membolehkan keluarganya berjimat kira-kira 2,000 dolar Singapura (RM6,395) sebulan.

Pada Jun lalu, pentadbiran Perdana Menteri, Lee Hsien Loong melancarkan ‘pakej sokongan’ 1.5 bilion dolar Singapura (RM4.79 bilion) bagi melindungi rakyat Singapura yang berpendapatan rendah daripada krisis kenaikan harga.

Menurut Guan, bagi penduduk Singapura kelas pertengahan, beban ditanggung akibat harga tinggi, diburukkan lagi oleh kumpulan individu bernilai bersih tinggi (NHWI) yang `keterlaluan’ di negara itu.

Selain itu, harga rumah persendirian meningkat sebanyak 3.2 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding suku pertama.

Malah, rumah pangsa awam yang mana menjadi tempat penginapan kira-kira lapan daripada 10 rakyat Singapura dan sepatutnya harganya berpatutan, dilaporkan kini dijual pada harga lebih sejuta dolar Singapura (RM3.19 juta).

Setakat ini, rumah itu pernah dijual pada harga paling tinggi iaitu 1.418 juta dolar Singapura (RM4.54 juta).

Keluarga Guan juga tidak mampu memiliki kereta yang mana warga Singapura perlu membeli Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) selain membayar untuk harga kenderaan tersebut.

“Saya amat risau dengan masa depan kedua anak perempuan saya yang masing-masing kini berusia tujuh dan empat tahun.

“Harga semua barangan semakin meningkat namun gaji sahaja tak naik,” katanya.

JURANG KAYA-MISKIN

Sementara itu, ahli sosiologi dan profesor di Universiti Teknologi Nanyang, Laavanya Kathiravelu berpandangan jurang pendapatan golongan kaya dan miskin semakin melebar di seluruh dunia.

Malah, kata Laavanya, Singapura juga tidak terkecuali daripada menghadapi kesan tersebut.

“Ini kerana ia tidak mempunyai cukai keuntungan harta tanah atau cukai warisan bagi mewujudkan situasi adil untuk semua orang.

“Mereka yang sudah memiliki harta atau dilahirkan dalam keluarga berstatus sosio ekonomi tinggi, sudah tentu mempunyai kelebihan.

“Dengan mobiliti sosial yang merosot, ia menjadi lebih sukar untuk mengatasi jurang ini dan bergerak ke atas dari segi status sosio ekonomi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here