KUALA LUMPUR, 7 Sept — Kedutaan Malaysia di The Hague yang menyertai Festival Kedutaan kali kesembilan di The Hague, Belanda Sabtu lepas, menampilkan keunikan budaya, permainan serta juadah tradisional Malaysia kepada masyarakat Belanda.

Festival tahunan itu diadakan kembali selepas dua tahun tidak dianjurkan akibat pandemik COVID-19 dan telah menarik penyertaan 55 kedutaan serta lebih 50,000 pengunjung.

Antara hidangan yang dipromosikan di pavilion Malaysia termasuk nasi lemak, karipap dan roti jala, serta buah-buahan seperti durian musang king, manggis dan buah naga yang diterbangkan khas dari Malaysia, menurut kenyataan kedutaan.

Kedutaan turut mempamerkan permainan sepak raga di Arena Kreatif.

Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Nadzirah Osman berkata beliau terkejut dengan jumlah pelawat yang ramai ke pavilion Malaysia dan minat yang ditunjukkan pengunjung Belanda serta masyarakat antarabangsa terhadap makanan dan buah-buahan dari Malaysia. 

“Secara keseluruhannya, penyertaan kami dalam Festival Kedutaan telah mencapai matlamatnya untuk mempromosikan Malaysia kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.

“Saya percaya penyertaan kami dalam Festival Kedutaan menjadi pemangkin dalam mempromosikan Malaysia kepada masyarakat Belanda dan juga masyarakat antarabangsa yang menetap di Belanda,” katanya dalam satu kenyataan.

Nadzirah berkata hubungan dua hala antara Malaysia-Belanda kukuh dalam pelbagai aspek seperti perdagangan dan pelaburan, pertanian, pengurusan air dan pelancongan.

Malaysia adalah ialah destinasi popular untuk pelancong Belanda. 

Sebelum pandemik melanda, ketibaan pelancong Belanda ke Malaysia adalah yang keempat tertinggi dari benua Eropah.

Lebih 80,000 pelancong Belanda melawat Malaysia setiap tahun.

Selain mempromosikan Malaysia, Kedutaan turut mengambil bahagian dalam program ASEAN di Festival itu. 

Jawatankuasa ASEAN di The Hague (ACTH), terdiri Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam telah membentuk Perkampungan ASEAN di Festival Kedutaan untuk meningkatkan kesedaran tentang badan serantau itu.

“ASEAN kekal sebagai asas dasar luar Malaysia. Malaysia akan terus bekerjasama dengan ACTH untuk mempromosikan kepentingan dan identiti ASEAN di Belanda,” kata Nadzirah.

Pada Ogos tahun ini, Belanda menyempurnakan penyertaannya menerusi Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama ASEAN, menjadikannya antara 49 negara yang komited untuk menggalakkan kerjasama pelbagai hala yang mesra dan kewujudan bersama secara aman di rantau ini dan selainnya.

Kedutaan juga merancang untuk menganjurkan pelbagai program pada tahun ini sempena Hari Kebangsaan 2022 serta Ulang Tahun ke-65 hubungan dua hala Malaysia-Belanda.

Program-program yang telah dirangka termasuk perkelahan Hari Kebangsaan/Malaysia dalam kalangan rakyat Malaysia, Sambutan Hari Kebangsaan, konsert tradisional Sape Sarawak, demonstrasi masakan oleh Chef Datuk Ismail Ahmad, seminar kerjasama Malaysia-Belanda dan pertunjukan filem Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here