GEORGE TOWN, 10 Sept — MCA berhasrat untuk bertanding di semua kerusi yang pernah ditandingi Parti Gerakan di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata parti itu ingin bertanding di kerusi-kerusi ditinggalkan Gerakan, yang kini tidak bersama Barisan Nasional (BN), kerana kawasan terbabit mempunyai ramai pengundi Cina.

“Secara logik, kita akan ambil alih… kalau bukan semua, sebahagian besar daripada kerusi yang dahulu ditandingi oleh Gerakan kerana kawasan-kawasan itu mempunyai kepadatan pengundi Cina yang tinggi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama-sama Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon dan Pengerusi MCA Pulau Pinang Datuk Tan Teik Cheng merasmikan Bilik Gerakan MCA Parlimen Bayan Baru serta kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak.

Mengulas lanjut, Wee bagaimanapun berkata perbincangan mengenai pembahagian kerusi dengan parti komponen BN Pulau Pinang masih diteruskan dan segala keputusan akan dibuat secara bersama.

Pada PRU14, BN Pulau Pinang bertanding di 40 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen dengan Gerakan di 13 DUN dan empat Parlimen, UMNO (15 DUN, lima Parlimen), MCA (10 DUN, empat Parlimen) manakala MIC di dua kawasan DUN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here