JOHOR BAHRU, 13 Sept — Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan mengurniakan 103,000 unit khemah kubik bernilai RM19 juta kepada setiap negeri di seluruh negara. 

Baginda bertitah khemah kubik kurniaan baginda menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) itu boleh digunakan bagi menempatkan mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) ketika menghadapi bencana alam. 

Sultan Ibrahim berkata setiap negeri akan mendapat lebih 5,000 unit khemah yang telah disampaikan oleh YSIJ.

“Majlis simbolik penyerahan khemah kubik kepada wakil-wakil setiap negeri disempurnakan oleh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berangkat sebagai wakil rasmi pada majlis yang berlangsung di Istana Polo, Pasir Pelangi di sini, hari ini,” titah baginda dalam satu kenyataan dikeluarkan Royal Press Office (RPO) di Facebook rasmi baginda, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Azmi Rohani dan Pemegang Amanah Urusan YSIJ Datuk Avinderjit Singh serta Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pengurusan Pasca Bencana) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus.

Sementara itu, Avinderjit berkata Sultan Ibrahim mengurniakan khemah berkenaan kepada seluruh negara bagi kegunaan mangsa ketika menghadapi bencana banjir. 

“Baginda amat prihatin dengan kebajikan rakyat sewaktu bencana dan kurniaan khemah ini boleh digunakan untuk penempatan mangsa-mangsa di PPS,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah diaktifkan segera dan peranannya di semua lokasi bencana diperkasakan bagi menghadapi monsun timur laut.

Beliau berkata bagi aspek pengurusan mangsa, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah bersiap sedia untuk mengaktifkan 6,010 PPS di seluruh negara yang mempunyai kapasiti menempatkan 1,620,855 mangsa.

Menurut laporan kesiapsiagaan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), fasa peralihan monsun tersebut dijangka bermula pertengahan September hingga November dengan monsun timur laut bermula pada Nov 2022 hingga Mac 2023.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here