BATU PAHAT, 14 Sept — Seramai 600 penduduk di beberapa kawasan di Sri Gading, di sini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading setelah kediaman mereka dinaiki air susulan banjir kilat awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata kesemua mangsa daripada 190 keluarga itu dipindahkan berikutan air naik selepas hujan lebat bermula pukul 1.30 pagi hingga 5.30 pagi, selain bertembung dengan fenomena air pasang besar sekitar pukul 3 pagi.

Beliau berkata empat kawasan yang terlibat banjir kilat ialah Taman Sri Panchor, Kampung Sengkuang, Kampung Baru Sri Gading dan Pekan Seri Gading.

“Pada awalnya, PPS telah dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Gading, namun sekolah itu juga dinaiki air dan mangsa kemudiannya dipindahkan ke SMK Seri Gading.

“Usaha membantu memindahkan mangsa sedang dijalankan dan sehingga kini jalan-jalan utama yang menghubungkan daerah Batu Pahat dengan lain-lain daerah masih boleh dilalui oleh semua kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain polis, operasi menyelamat mangsa banjir turut membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here