BELURAN, 18 Sept — Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyalurkan puluhan juta ringgit dalam bentuk bantuan tunai dan peralatan kepada sektor pertanian yang terkesan bencana alam termasuk banjir, setiap tahun.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata kementerian sentiasa mengambil tindakan bagi mengurangkan impak terhadap tanaman dan ternakan menerusi jabatan dan agensi di bawah MAFI yang sentiasa bersiap siaga, terutama dalam menghadapi banjir pada setiap penghujung tahun.

“Walaupun bencana seperti banjir sentiasa berlaku, tetapi magnitudnya berbeza. Contohnya pada tahun lepas, tahap banjir di seluruh negara agak kritikal dan memberi impak kepada sektor agromakanan.

“Tahun ini juga tidak banyak bezanya dan kita sentiasa siap siaga agar impaknya dapat dikurangkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Semarak Tani Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Ronald berkata masyarakat nelayan, petani, peladang dan penternak merupakan komuniti penting yang harus dijaga oleh kerajaan sejajar Dasar Agromakanan Negara demi kelangsungan sekuriti makanan negara.

Mengenai Program Semarak Tani Keluarga Malaysia, beliau berkata program itu merupakan rangkuman produk di bawah MAFI bertujuan membantu memperkasa komuniti agromakanan luar bandar, selain menyampaikan maklumat tentang pendekatan serta dasar-dasar terkini kerajaan secara terus kepada rakyat di peringkat lapangan.

“Program ini ialah usaha MAFI bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas secara langsung komuniti agromakanan terhadap impak pelaksanaan dasar dan pendekatan kerajaan melalui kementerian, serta memberikan jaminan terhadap komitmen dan usaha berterusan kerajaan bagi meningkatkan pendapatan serta taraf hidup mereka,” katanya.

Pada program itu, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran turut menyaksikan sesi penyerahan Pasar Tamu Beluran baharu yang dibangunkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kos RM746,000 kepada Majlis Daerah Beluran. 

Beliau turut mengumumkan penubuhan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Paitan yang merupakan PNK ke-15 di Sabah, serta proses penubuhan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Telupid, yang kini dalam peringkat akhir.

Selain itu, beliau menyerahkan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) Laut secara tunai berjumlah RM193,275.80 kepada 650 nelayan laut Beluran.

Beliau memaklumkan nilai bayaran ESHN Laut bagi seluruh Sabah bagi tahun ini berjumlah RM22,013,900 yang memanfaatkan 7,671 nelayan laut.

Program dua hari sejak semalam itu berjaya mengutip nilai jualan berjumlah kira-kira RM175,000 melibatkan 184 usahawan, dengan 21,000 pengunjung.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here