KUALA LUMPUR, 21 Sept — Kenaikan kadar faedah dan kos tenaga dijangka memacu pelaburan dalam pembiayaan hijau, khususnya pinjaman hijau dan bon di rantau ini, kata ahli panel pada persidangan “Developing and Financing Green Housing in Asia” anjuran Cagamas hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif GSUM-Titanland Capital Pte Ltd, Wong Ee Kean berkata persekitaran semasa mendorong penerbit bon dan sukuk untuk mencari kaedah dalam menangani kenaikan kadar faedah, yang mana pembiayaan hijau adalah pilihan utama.

Beliau mengutarakan perkara itu pada sesi “Development of Green Mortgage-Backed Securities” dalam persidangan tersebut.

Pada majlis yang sama, Pakar Kewangan Mampan Bank Pembangunan Asia, Rob Fowler berkata jika pembiayaan hijau dimulakan, ketelusan amat diperlukan kerana ia penting.

“Apabila kita menyaksikan pertumbuhan yang bertemakan hijau atau mampan, kita mula melihat adakah hijau ini adalah mencukupi dan kemudian, kita juga melihat terutamanya jika ia melibatkan ketelusan. Ramai pelabur hijau ingin tahu sama ada pelaburan mereka cukup hijau,” kata Fowler.

Ini telah meningkatkan pelbagai peluang untuk peminjam sama ada mereka mendapatkan pinjaman, menerbitkan bon atau sukuk dan mereka dalam hal ini perlu benar-benar menonjolkan kisah kemampanan mereka.

“Misalnya rumah mampu milik, mungkin ada tumpuan untuk hijau atau sosial, atau gabungan kedua-duanya,” kata Fowler.

Pengarah Urusan dan Ketua Perwakilan Asia Pasifik International Capital Market Association, Mushtaq Kapasi bersetuju bahawa ketelusan adalah asas dalam pembiayaan hijau.

Kapasi berkata, prinsip bon hijau merupakan keperluan asas yang dipersetujui oleh semua pemegang kepentingan utama dalam pasaran seperti pelabur, penaja jamin dan penerbit utama.

Idea asasnya adalah ia perlu digunakan untuk projek hijau dan pelaburan, katanya.

“Ia adalah pendedahan tentang projek itu, ke mana wang itu pergi, siapa yang telah melihatnya dan siapa yang menilai proses bagaimana ia digunakan,” kata Kapasi.

Penasihat Bank Pembangunan Asia, Satoru Yamadera yang bercakap mengenai penyeragaman prinsip, berkata ASEAN Capital Markets Forum menetapkan piawaian mestilah menggunakan prinsip International Capital Market Association sebagai garis panduan untuk rantau ini.

ASEAN Capital Markets Forum menggunakan pendekatan yang lebih ketat, terutamanya untuk standard Bon Hijau ASEAN, yang mengecualikan bahan api fosil untuk memastikan ASEAN akan menjadi ‘lebih hijau’.

Persidangan sehari itu adalah anjuran dengan kerjasama Pemangkin Kemudahan Kewangan Hijau ASEAN serta Inisiatif Pasaran Bon Asia ASEAN+3 (ABMI).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here