KUALA LUMPUR, 21 Sept — Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) telah membuka pusat 3S/4S ke-149 yang merupakan jumlah cawangan paling tinggi dalam industri automotif tempatan.

Terletak di Kota Bharu, pusat pengedaran Harima Auto Mobil 4S (Harima) adalah pengedar Proton terbesar di dua negeri Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Roslan Abdullah berkata, pembukaan pusat 4S itu akan membantu meningkatkan keterlihatan Proton di kedua-dua negeri tersebut.

“Dengan memiliki rangkaian penuh kemudahan dan aset yang diperlukan untuk melayani jumlah pelanggan yang tinggi, kami berharap dapat meningkatkan tahap perkhidmatan pelanggan dan memberikan pengalaman yang benar-benar premium bagi pelanggan di negeri ini,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Terletak di Tunjong, kawasan yang membangun dengan pesat di Kota Bharu, pengedar 4S itu mempunyai keluasan binaan 2,400 meter persegi dengan 11 ruang servis, dan bilangan ruangan ketuk dan cat yang sama. Bilik pameran pula boleh menempatkan 10 kenderaan.

Seperti pengedar 4S yang lain, terdapat kawasan untuk permainan kanak-kanak, WiFi percuma dan ruang istirahat yang selesa untuk pelanggan.

Harima juga bekerjasama dengan Proton Global Services (PGS) untuk menawarkan kemudahan lain. seperti ruang minuman yang menyajikan kopi Starbucks serta sudut produk berjenama Proton dan R3.

Syarikat itu merupakan pengedar pertama di Kelantan yang mempunyai kedua-dua perkhidmatan itu, yang pastinya menarik minat pelanggan dan peminat pengeluar kereta nasional itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here