KUALA LUMPUR, 28 Sept — Dasar baharu yang memerlukan majikan mengambil pekerja asing baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu dibincangkan bersama pihak berkepentingan yang berkaitan sebelum pelaksanaan.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman meminta penjelasan lanjut mengenai dasar baharu itu supaya sebarang masalah akan dapat diminimumkan apabila ia dilaksanakan.

“MEF berpandangan bahawa dasr baharu sedemikian mungkin menimbulkan isu pelaksanaan memandangkan tempih enam jam yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen mungkin terlalu singkat. Meskipun terdapat kemungkinan tempoh itu dilanjutkan, ia tidak menyatakan berapa lama lanjutan boleh diberikan.

“Berpandukan dasar baharu itu, pekerja asing tidak akan dilepaskan sehingga majikan mereka tiba di KLIA. Bagaimanapun, dasar baharu itu tidk menyatakan siapa yang boleh mewakili majikan, bolehkah majikan diwakili oleh Pengarah, Pengurus, para pegawai Sumber Manusia atau ejen yang diberi kuasa untuk menerima pekerja terbabit bagi pihak majikan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau berkata dasar yang dicadang iaitu mengeluarkan notis Tidak Dibenarkan Mendarat (NTL) dan menghantar pulang pekerja asing yang sudah berada di KLIA melalui penerbangan berikutnya jika majikan gagal mematuhinya akan membebankan majikan dari segi kos.

“Ia akan menimbulkan banyak kesulitan dan cabaran lain terutama apabil majikan berdepan kekurangan tenaga kerja yang kritikal terutama pekerja asing,” katanya.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataan hari ini memaklumkan majikan dikehendaki menunggu ketibaan pekerja asing baharu mereka di KLIA bagi memastikan bahawa mereka memiliki majikan yang sah.

Beliau berkata majikan bertanggungjawab menguruskan dokumentasi pekerja serta mengesahkan bahawa mereka adalah majikan pekerja terbabit dan peraturan Jabatan Imigresen memberi tempoh enam jam untuk mereka mengambil pekerja asing mereka di KLIA namun dalam keadaan tertentu, tempoh itu boleh dilanjutkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here