KOTA KINABALU, 30 Sept — Datuk Prof Dr Kasim Md Mansur dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu berkuat kuasa 3 Okt ini.

Kementerian Pengajian Tinggi dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Kasim bagi menggantikan  penyandang jawatan berkenaan Datuk Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin.

“Berdasarkan reputasi kepimpinan institusi dimiliki, beliau (Kasim) berkemampuan untuk membentuk jaringan hubungan kerja harmoni dengan semua pemegang taruh berkepentingan khususnya di Sabah.

“Kementerian yakin beliau mampu meneraju UMS  sebagai sebuah universiti pilihan di peringkat nasional seterusnya melonjakkan kecemerlangan akademik secara keseluruhan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Kasim, 61, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dan Ijazah Sarjana dalam bidang Ekonomi dari Indiana State University, Terra Haute, Amerika Syarikat sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Kedoktoran dalam bidang sama di University of Wisconsin, Amerika Syarikat.

Anak jati kelahiran Sabah itu pernah menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS selama lima tahun bermula 2009 hingga 2014.

“Beliau merupakan seorang tokoh akademik sangat disenangi dalam kalangan pegawai dan pelajar UMS. Di peringkat Sabah pula, beliau memberi sumbangan signifikan kepada rakyat negeri itu sebagai Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Sabah dan Ahli Lembaga Institute For Development Studies Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, kementerian turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yap atas jasa bakti beliau meneraju UMS sebelum ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here