KUALA NERANG, 5 Okt — Kabinet meluluskan Penambahbaikan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) untuk pekebun kecil getah di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata perincian mengenainya akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

“Dah ada kelulusan dalam kabinet bagi Bantuan Musim Tengkujuh (untuk pekebun kecil getah), biar perdana menteri umumkan nanti,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada anak-anak Padang Terap yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata penambahbaikan BMT itu dijangka akan memberi manfaat kepada  232,000 pekebun kecil getah RISDA seluruh negara yang ketika ini menerima BMT berjumlah RM300 sebulan untuk tempoh tiga bulan.

Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Luar Bandar mengemukakan dua syor kepada Perdana Menteri bagi membela nasib pekebun kecil getah RISDA yang terkesan akibat harga getah yang rendah. 

Syor tersebut ialah menaikkan harga lantai getah sekerap daripada harga semasa RM2.50 sekilogram kepada RM3 sekilogram dan melanjutkan tempoh BMT daripada tiga bulan kepada enam bulan.

Sementara itu, Mahdzir berkata 385 pelajar terdiri daripada anak-anak daerah Padang Terap yang sedang menuntut di IPT awam dan swasta menerima bantuan berjumlah hampir RM150,000 bagi meringankan beban kewangan mereka khususnya daripada golongan B40.

“Bantuan yang disampaikan hari ini telah diberikan sejak 2004 menerusi Pejabat Ahli Parlimen Padang Terap dan kita teruskan setiap tahun untuk melihat anak-anak Padang Terap terus mencipta kejayaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here