RANAU, 5 Okt — Kementerian  Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui NanoMalaysia bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan menjalankan kerjasama penyelidikan bagi  melaksanakan projek fitoperlombongan di tapak rumah hijau Kampung Monggis di sini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata projek fitoperlombongan merupakan penghasilan bahan aktif logam daripada tumbuhan biojisim tinggi dan dijalankan di bawah Program Inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga NanoMalaysia (NESTI).

Beliau berkata fitoperlombongan itu akan menggunakan tumbuhan asli tempatan iaitu Phyllanthus Rufuschaneyi dan Rinorea Bengalensis, yang akan menghasilkan nikel serta kobalt yang merupakan bahan aktif bateri jenis litium-ion.

“Hasil penyelidikan, fitoperlombongan ini dapat memulihara bekalan terhad bahan aktif bateri litium, selain dilihat bakal mengurangkan aktiviti perlombongan konvensional bahan-bahan aktif untuk menghasilkan bateri litium-ion baharu.

“Projek fitoperlombongan ini melibatkan kelestarian bateri sekali gus menerajui pembangunan teknologi bateri mampan sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara berteknologi tinggi menjelang 2030,” katanya kepada pemberita selepas melawat fitoperlombongan di Nickel Garden, Kampung Monggis di sini hari ini.

Adham berkata penyelidikan fitoperlombongan itu juga secara tidak langsung dapat menjadikan sektor perlombongan logam secara mampan menerusi kedua-dua spesies tumbuhan berkenaan serta tumbuh-tumbuhan semulajadi lain yang bakal ditemui kelak.

Beliau berkata MOSTI akan menyokong aktiviti untuk mendapatkan hak milik intelektual yang diperoleh daripada aktiviti penyelidikan dan pembangunan spesies ini.

Menurutnya hasil kerjasama baik antara MOSTI melalui NanoMalaysia Berhad dan negeri Sabah melalui pihak Taman-Taman Sabah serta Pusat Biodiversiti Sabah akan menjadikan fitoperlombongan sebagai kunci kepada pembangunan kepakaran negara dalam bidang perlombongan hijau.

“Sektor pertanian ini mampu meningkatkan pendapatan masyarakat di luar bandar dengan pewujudan peluang pekerjaan sekali gus menyumbang kepada ekonomi Malaysia terutamanya meningkatkan aliran pendapatan bagi petani logam,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here