KUALA LUMPUR, 7 Okt — Kerajaan hari ini membentangkan Bajet 2023, memperuntukkan sejumlah RM372.3 bilion yang sebahagiannya diilhamkan oleh Keluarga Malaysia dan berhasrat untuk menjadi ‘responsif, bertanggungjawab dan reformis’.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa membentangkan belanjawan itu di Dewan Rakyat berkata sebanyak RM272.3 bilion diperuntukkan bagi belanja mengurus, RM95 bilion bagi belanja pembangunan manakala RM5 bilion di bawah Kumpulan Wang COVID-19.

Beliau menzahirkan keyakinan bahawa Bajet 2023, yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’ akan membolehkan Keluarga Malaysia mendepani setiap cabaran global yang mendatang dan pada masa yang sama bertanggungjawab membina masa depan yang cerah buat anak-anak generasi legasi.

Tengku Zafrul berkata belanjawan itu dirangka dengan turut memasukkan buah fikiran yang dikumpul, hasil ilham Keluarga Malaysia.

“Lebih 100 inisiatif rakyat akan direalisasikan sebagai sebahagian usaha holistik yang terkandung di dalam naskhah besar ini,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menyumbangkan segala idea dan pandangan mereka.

Tengku Zafrul menghuraikan tiga agenda ‘responsif, bertanggungjawab dan reformis’ itu.

“Bajet 2023 akan segera responsif kepada sebarang cabaran dan melalui bantuan yang komprehensif kepada Keluarga Malaysia, bukan sekadar kumpulan B40 tetapi juga M40, wanita, belia, OKU dan semua segmen masyarakat,” katanya.

Beliau berkata bajet 2023 bertanggungjawab untuk mengimbangi dasar fiskal yang mengembang dengan melaksanakan pembaharuan fiskal ke arah kemampanan kewangan kerajaan dalam jangka panjang. Bajet ini bertanggungjawab membina daya tahan negara bagi mendepani sebarang krisis mendatang.

Bajet 2023 ialah reformis yang mengambil peluang merubah landskap pembangunan negara agar lebih inklusif dan mampan di samping menyokong industri negara yang kukuh melalui pelaburan strategik, katanya.

Tengku Zafrul berkata belanjawan itu akan memastikan kesejahteraan rakyat, kesinambungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.

Setiap tiga agenda mempunyai strategi pelaksanaan dan setiap strategi mempunyai beberapa bidang tumpuan. Agenda responsif mempunyai tiga strategi, antaranya mengutamakan kebajikan rakyat dengan 12 bidang tumpuan termasuk kumpulan B40, M40, wanita, belia, perlindungan sosial dan kos sara hidup.

Antara bidang tumpuan itu, Bantuan Keluarga Malaysia 2023 akan memberi manfaat kepada 8.7 juta penerima dengan peruntukan RM7.8 bilion.

“Atas keprihatinan kerajaan kepada golongan susah dan B40, bantuan tunai di bawah JKM dan BKM untuk 2023 akan melebihi RM10 bilion,” katanya.

Bagi menyegerakan agenda membasmi kemiskinan tegar, RM1 bilion disediakan iaitu RM750 juta peruntukan kerajaan di samping program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berjumlah RM250 juta.

Untuk terus memperkasa peranan wanita di peringkat kepimpinan korporat, belanjawan ini mencadangkan Suruhanjaya Sekuriti memperkenalkan program latihan khas untuk meningkatkan kemahiran wanita, mengenal pasti dan seterusnya menambah bilangan wanita yang layak untuk dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.

“Saya percaya parti-parti politik pun sedang giat mengenal pasti serta berazam untuk mencalonkan lebih ramai wakil rakyat wanita untuk PRU akan datang,” katanya. Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu diadakan sebelum Julai 2023.

Bagi kos sara hidup, belanjawan itu memperuntukkan lebih RM55 bilion  khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif dan juga bagi meminimumkan kos sara hidup antaranya melalui kawalan harga barangan dan perkhidmatan.

Menerusi fokus pendidikan, serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Kementerian Pendidikan akan terus menerima peruntukan terbesar iaitu sebanyak RM55.6 bilion berbanding RM52.6 bilion tahun ini.

“Selaras dengan agenda memperkasa TVET yang diterajui oleh Majlis TVET Negara, sejumlah RM6.7 bilion disediakan di bawah tujuh kementerian utama yang melaksanakan pelbagai inisiatif TVET,” kata Tengku Zafrul. 

Bajet 2023 juga memperuntukkan hampir RM1 bilion untuk kebajikan warga emas iaitu peningkatan ketara berbanding RM580 juta pada 2020 berikutan kenaikan kadar bantuan kebajikan warga emas dan peluasan kelayakan yang meningkatkan bilangan penerima.

Tengku Zafrul berkata kebajikan Orang Kurang Upaya akan terus diberi perhatian di samping melaksanakan inisiatif yang berupaya menggilap potensi OKU untuk menyumbang kepada ekonomi diri. Tahun 2023, sejumlah RM1.2 bilion disedia khusus untuk OKU antaranya melalui bantuan penjagaan pesakit kronik, elaun OKU tidak berupaya kerja dan elaun pekerja cacat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here