SINGAPURA, 8 Okt — Malaysia komited sepenuhnya untuk mencapai objektif Perjanjian Komprehensif dan Progresif, bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) bagi mengukuhkan lagi penyepaduan ekonomi serantau dan membangunkan sistem dagangan pelbagai hala berasaskan peraturan, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. 

“Hari ini menandakan peristiwa penting bagi Malaysia kerana selepas lima tahun kami akhirnya meratifikasikan CPTPP. 

“Kami percaya CPTPP akan menambahkan lagi dorongan kepada usaha pemulihan ekonomi kami terutamanya dalam menggerakkan agenda pertumbuhan yang progresif, mampan dan inklusif,” katanya pada sidang media bersama yang diadakan selepas Mesyuarat Ke-6 Suruhanjaya CPTPP, di sini, hari ini. 

Dalam satu kenyataan bersama menteri-menteri yang dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut, para anggota mengalu-alukan ratifikasi perkongsian itu oleh Malaysia.

Penyertaan Malaysia sebagai anggota kesembilan CPTPP akan memantapkan lagi penyepaduan ekonomi, meningkatkan liputan ekonomi perjanjian itu dan mengukuhkan manfaat yang diraih bersama, kata kenyataan itu. 

Sementara itu, dalam beberapa ciapan menerusi laman Twitter beliau berkaitan dengan mesyuarat itu, Azmin antara lainnya menyentuh tentang rantaian bekalan.

“Saya mencadangkan inisiatif serantau bahawa setiap negara perlu mewujudkan simpanan stok nasional produk kritikal yang mana negara tertentu mempunyai kelebihan. 

“Ini paling penting bagi memastikan rantaian bekalan CPTPP lebih berdaya tahan, kukuh dan bersepadu dengan menambah baik ketelusan, kepelbagaian dan jaminan,” katanya.

Menurut Azmin, pelaksanaan CPTPP dijangka membawa kepada peningkatan eksport yang diunjurkan berjumlah US$354.7 bilion.

Imbangan perdagangan kekal dalam lebihan kukuh diunjurkan pada 8.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2030, katanya, sambil menambah pelaburan yang memasuki Malaysia juga dijangka meningkat sebanyak tambahan US$112.3 bilion bagi tempoh 2021-2030.

Sebagai negara tuan rumah, mesyuarat yang berlangsung di Sands Expo & Convention Centre di sini, hari ini, dipengerusikan oleh Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Gan Kim Yong.

Beliau turut menjadi hos bagi menteri dan pegawai kanan dari Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru dan Vietnam.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Gan menyifatkan CPTPP telah memberi manfaat ekonomi kepada perniagaan, pekerja dan pengguna susulan peningkatan perdagangan membabitkan negara anggotanya.

Beliau berkata, perdagangan barangan dianggarkan meningkat kepada US$535 bilion pada 2021 berbanding US$467 bilion pada 2019.

“Ini merupakan peningkatan hampir 15 peratus biarpun dalam keadaan pandemik,” katanya yang memetik data daripada kajian terkini oleh Institut Daya Saing Asia Singapura.

Menurut Gan, aliran peningkatan sama turut dicatatkan oleh perdagangan perkhidmatan yang didorong oleh pertumbuhan dalam perkhidmatan digital, khususnya perkhidmatan telekomunikasi dan maklumat.

Mengulas perkembangan terbaharu berkaitan perluasan CPTPP kepada ekonomi lain, beliau berkata rundingan membabitkan United Kingdom sedang dijalankan.

Malah, katanya, CPTPP juga telah berjaya menarik perhatian beberapa ekonomi atau negara yang berminat, termasuk lima permohonan yang diterima sejak perjanjian itu dikuatkuasakan pada 2018.

“Minat yang sebegitu ketara itu adalah bukti terhadap nilai CPTPP dan menunjukkan kepentingan perjanjian ini sebagai platform ke arah Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP),” katanya.

Mesyuarat Suruhanjaya CPTPP seterusnya akan dihoskan oleh New Zealand pada 2023.

CPTPP yang dimeterai pada 8 Mac, 2018, telah diratifikasi dan dikuatkuasakan secara berperingkat sejak Disember 2018 oleh Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Singapura, Vietnam dan Peru.

Perjanjian itu akan dikuatkuasakan di Malaysia pada 29 Nov, 2022.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here