KUALA LUMPUR, 11 Okt — Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) malam tadi tidak membincangkan nama calon Perdana Menteri pilihan parti itu.

Perkara itu disahkan beberapa pemimpin tertinggi BN selepas mesyuarat berkenaan yang berakhir kira-kira jam 10.30 malam tadi.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup mengesahkan perkara itu.

“Calon Perdana Menteri tiada dibincangkan, kita bincang mengenai manifesto namun ada beberapa perkara masih belum dimuktamadkan.

“Kami PBRS masih ada beberapa perkara mahu diketengahkan dan cadangkan,” katanya.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong turut mengesahkan tiada perbincangan mengenai calon Perdana Menteri, sebaliknya tertumpu kepada persiapan menghadapi pilihan raya.

Mengenai pembahagian kerusi, beliau berkata, perkara itu masih belum dimuktamadkan tetapi keutamaan kepada tiga parti komponen utama BN.

Turut mengesahkan perkara sama, Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang memaklumkan calon Perdana Menteri tidak dibincangkan.

Katanya, perbincangan tertumpu kepada persiapan menghadapi pilihan raya dan manifesto parti.

“Manifesto tertumpu kepada kebajikan dan pembelaan rakyat, manakala calon baharu sentiasa diberikan penekanan berdasarkan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, Mesyuarat Dewan Tertinggi BN bersetuju tema utama manifesto bagi PRU-15 ialah ‘Kestabilan Dan Kemakmuran’.

BN katanya komited memastikan kebajikan rakyat diperkasa dan kedaulatan negara terus terpelihara dengan penawaran dasar bersifat pro-rakyat dalam memacu pembangunan sosioekonomi yang mapan dan menyeluruh.

“Dewan Tertinggi bersetuju dengan usaha-usaha untuk mengetengahkan calon baharu yang mempunyai nilai ‘Winnable, Acceptable & Likeable’ (WALI) dan berazam untuk mencapai 30 peratus calon wanita,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan, rundingan pembahagian kerusi antara parti komponen dan Friends of BN akan dimuktamadkan.

“Dewan Tertinggi menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas perkenan baginda untuk membubarkan Parlimen selaras dengan kuasa-kuasa baginda sebagaimana termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Mesyuarat mengarahkan persiapan semua jentera parti bagi menghadapi PRU-15 di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) komponen BN. 

“Dewan Tertinggi juga mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bahagian menjalankan mesyuarat koordinasi gerak kerja jentera bagi menghadapi PRU-15,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here