KUALA LUMPUR, 16 Okt — Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk meneroka lebih lanjut kerjasama di bawah Kementerian Pengangkutan bagi membangunkan bahan api penerbangan yang mampan, kata Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Menteri Pengangkutan itu berkata ia termasuk menjadikan bahan itu lebih mudah untuk diakses dan berpatutan kepada pemain industri penerbangan di masa hadapan, selain mendorong Agenda Skim Pengurangan dan Mengimbangi Karbon bagi Penerbangan Antarabangsa (CORSIA).

Beliau berkata itu antara inti pati mesyuarat dua hala antara delegasi Malaysia yang diketuainya dengan delegasi EU, yang diketuai Ketua Pengarah Mobiliti dan Pengangkutan Suruhanjaya Eropah Henrik Hololei, pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN ke-28 di Bali, Indonesia hari ini.

“Henrik Hololei juga memuji pencapaian Malaysia dalam sektor penerbangan, iaitu pemilihan semula ke Majlis ICAO (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa) dan dikembalikan semula ke Kategori 1 penarafan keselamatan FAA (Pentadbiran Penerbangan Persekutuan) IASA (Penilaian Keselamatan Penerbangan Antarabangsa) AS (Amerika Syarikat) baru-baru ini.

“Kami mengucapkan terima kasih atas sokongan padu EU dalam pemilihan semula Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.

Wee berkata kedua-dua pihak turut membincangkan kerjasama masa depan Malaysia-EU dalam pengangkutan dan logistik, selain bekerjasama dengan syarikat-syarikat Eropah yang sedia ada di Malaysia.

Beliau berkata Suruhanjaya EU juga dijemput mengambil bahagian dalam acara Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LlMA) pada Mei tahun depan.

Dalam hantaran berasingan, Wee berkata menerusi pertemuan Menteri Pengangkutan ASEAN dan Republik Korea (ROK) ke-13 pada persidangan itu, Korea Selatan mengulangi komitmennya berkongsi pengalaman dan amalan terbaik, untuk meningkatkan sistem pengangkutan ASEAN.

Beliau berkata ini termasuk aktiviti lain yang berkaitan di bawah Pelan Hala Tuju Kerjasama Pengangkutan ASEAN-ROK 2022-2025.

“Kami menantikan keputusan yang membuahkan hasil daripada Perjanjian Perkhidmatan Udara ASEAN-ROK untuk AK-ASA, yang saling menguntungkan untuk lebih banyak ketersambungan antara ASEAN dan ROK semasa mesyuarat G20 (negara anggota kumpulan 20) esok, di Bali.

“Malaysia akan terus menyokong penyelarasan yang lebih erat antara negara anggota ASEAN dan ROK, dalam melaksanakan pelan hala tuju itu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here