Seorang lelaki menunggang basikal melewati logo mesyuarat ke-22 Majlis Ketua-ketua Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di Samarkand, Uzbekistan pada 12 September 2022. (Xinhua/Bai Xueqi)

Hampir sedekad lalu, tatkala barisan kepimpinan baharu Parti Komunis China (PKC) membuat debut di Dewan Besar Rakyat selepas sidang pleno pertama Jawatankuasa Pusat ke-18 PKC, dunia mula mengagak bagaimana negara berpenduduk paling ramai di dunia yang diketuai Xi Jinping itu bergaul dengan komuniti global, dan apakah peranan yang akan dimainkan entiti ekonomi kedua terbesar dunia itu pada era yang diwarnai pelbagai perubahan dan cabaran.

Pada Mac 2013, semasa lawatan sulung Xi ke luar negara selepas memegang jawatan Presiden China, beliau yang merangkap Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat PKC, mengetengahkan visi negara Tembok Besar itu untuk membina hubungan antarabangsa model baharu berteraskan kolaborasi sama menang dan membentuk komuniti berkongsi nasib sesama insan.

Sepanjang sedekad lalu, di bawah pimpinan Xi, China komited menempuh jalan pembangunan secara damai, dan bergiat dalam merungkai cabaran global, mendorong kerjasama yang saling menguntungkan dan menggerakkan sistem tadbir urus global ke arah lebih adil dan saksama.

Diperhatikan bahawa pendekatan China selaras dengan arus sezaman, dan kondusif untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan dan merangsang pertumbuhan ekonomi global, sekali gus menyumbang kepada kemakmuran bersama.

Kolaborasi Sama Menang

Pada 2013 juga, Presiden Xi yang dalam rangka lawatan ke Kazakhstan dan Indonesia mengesyorkan gagasan Jalur Ekonomi Jalan Sutera dan Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21, yang merupakan acuan asal Inisiatif Jalur dan Laluan, atau dikenali BRI.

Sembilan tahun kemudian, inisiatif itu mengeratkan jalinan perkongsian, menggalakkan ketersambungan dan memajukan pembangunan bersama di seluruh dunia.

Kanak-kanak dari sebuah kampung di Senegal bermain di sebelah perigi yang dibina atas bantuan China, pada 11 September 2018. (Xinhua)

Jumlah dagangan tahunan antara China dengan sekitar 150 negara yang terlibat dalam BRI menokok kepada AS$1.8 trilion pada 2021 daripada AS$1.04 trilion yang dicatat pada 2013, meningkat 73 peratus dalam tempoh lapan tahun.

Menurut laporan Bank Dunia, inisiatif berkenaan boleh membantu seramai 7.6 juta orang bebas daripada kemiskinan tegar dan 32 juta keluar daripada kemiskinan sederhana di dunia, selain menyaksikan jumlah perdagangan negara-negara terbabit mencatat pertumbuhan sebanyak 2.8 hingga 9.7 peratus, manakala sebanyak 1.7 hingga 6.2 peratus di peringkat global.

Ketua Pusat Pengajian Politik dan Strategik Al-Ahram (ACPSS) Mesir di Kaherah, Mohamed Fayez Farahat berkata inisiatif disyorkan China itu menonjolkan sumbangan negara tersebut kepada pembangunan global serta sokongannya kepada negara membangun dan entiti ekonomi baru muncul.

“China mempertahankan usaha negara membangun di persada dunia, dan juga memainkan peranan aktif dalam pertubuhan antarabangsa utama,” kata pakar itu.

Sasar Tadbir Urus Global Lebih Baik 

Dalam dunia yang pantas berubah ini, salah satu keutamaan adalah untuk menambah baik tadbir urus global. Pada ketika ini, wujud beberapa faktor rumit antaranya pandemik COVID-19 yang masih berlarutan, konflik rantau dan kebangkitan gelombang menentang globalisasi, sementara defisit dalam keamanan, keselamatan, kepercayaan dan tadbir urus semakin meluas.

Anggota pasukan perubatan China bergambar bersama doktor Itali di Padua, Itali pada 18 Mac 2020. (ihsan Pasukan Perubatan China /edaran melalui Xinhua)

Dalam tempoh sedekad lalu, Presiden Xi berulang kali menekankan bahawa kunci merungkai masalah tersebut ialah multilateralisme jitu dan sistem antarabangsa berteraskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Selain itu, perlunya membentuk sinergi ke arah membina hubungan antarabangsa model baharu berlandaskan prinsip saling menghormati, adil dan saksama serta sama menang, dan mewujudkan komuniti berkongsi nasib sesama insan.

Xi menerusi ucapan sempena Debat Umum sesi ke-75 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) menyeru agar multilateralisme dijunjung tinggi dan sistem antarabangsa berpusatkan PBB dipertahankan.

“Tadbir urus global harus bersandarkan kepada prinsip berunding bersama, membangun bersama dan berkongsi demi memastikan semua negara dapat menikmati hak dan peluang secara saksama selain mengikut peraturan yang sama,” kata Xi.

Selama bertahun-tahun, China mengotakan janji dengan aktif melibatkan diri dalam urusan global seperti pembendungan pandemik, pengurangan kemiskinan, tindakan iklim dan misi pengaman, serta pembangunan ekonomi dunia yang terbuka. 

China berperanan sebagai pembina kedamaian dunia, penyumbang kepada pembangunan sejagat, pelindung tata tertib antarabangsa, dan pembekal produk awam.

Sinergi diperlukan untuk membentuk tadbir urus global yang lebih adil dan cekap. Ia memberikan dorongan kepada China untuk memantapkan jalinan kerjasama dengan negara lain, khususnya negara membangun. 

Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), organisasi rantau terbesar dengan jumlah penduduk paling ramai di dunia, menunjukkan contoh baik bagaimana Beijing dan rakan kongsinya mempromosikan hubungan antarabangsa model baharu.

Sejak penubuhan pada 2001, negara anggota SCO berganding bahu dan berkolaborasi untuk memperkasakan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk keselamatan, ekonomi dan perdagangan, kesihatan awam dan budaya.

Selepas 21 tahun berkembang, SCO kini memainkan peranan lebih konstruktif dalam menambah baik tadbir urus global dan menggalakkan kestabilan dan pembangunan.

Ketua Jabatan Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Abuja, Sheriff Ghali Ibrahim menyatakan, seiring kebangkitan entiti ekonomi baru muncul, negara membangun bersuara lebih lantang dalam tadbir urus global. 

Negara berkenaan bergiat aktif dalam menggerakkan proses globalisasi ke arah lebih adil dan lebih inklusif menerusi pelbagai mekanisme kerjasama dan platform pelbagai hala.

Sudah terbukti bahawa China berjaya menjadi pelopor kerana konsep globalisasi yang dijunjungnya mencorakkan masa depan dikongsi semua, tanpa diskriminasi, pengasingan atau pengecualian, kata pakar Nigeria itu.

Masa Hadapan Dikongsi Semua

Pandemik yang masih berleluasa merupakan satu peringatan kepada orang awam bahawa seluruh umat manusia tinggal di sebuah perkampungan global dan nasib semua negara diikat lebih rapat berbanding bila-bila masa dahulu.

Untuk memberi respons yang lebih baik kepada masalah global seumpama satu hari kelak, masyarakat antarabangsa harus membentuk solidariti dan sinergi dalam mengukuhkan tindak balas.

Gambar dari udara bertarikh 7 Ogos 2022 ini menunjukkan kenderaan komersial diletakkan sementara di Pelabuhan Qingdao di wilayah Shandong, sebelum dimuat naik ke kapal kargo untuk dibawa ke destinasi di Afrika. (Xinhua/Li Ziheng)

Dengan meneliti aspirasi bersama dunia, Presiden Xi turut mengesyorkan Inisiatif Pembangunan Global dan Inisiatif Keselamatan Global bagi menyumbang kebijaksanaan China untuk menghapuskan defisit dalam keamanan, keselamatan, kepercayaan dan tadbir urus.

Ia menonjolkan peri pentingnya membina sebuah dunia yang menikmati pembangunan bersama dan keselamatan kolektif tatkala landskap global sedang mengalami perubahan.

Bekas Pengerusi Yayasan Penyelidikan Pemerhati (ORF), iaitu kumpulan pemikir India, Sudheendra Kulkarni menyatakan, pembangunan dan keselamatan umpama dua sisi syiling yang tak dapat dipisahkan.

“Tiada mana-mana negara mampu mewujudkan keselamatan jika ada yang tidak selamat; begitu jugalah pembangunan mustahil dicapai kalau ada yang terancam.

“Kita mesti mempertimbangkan keselamatan dan pembangunan dalam konteks global,” kata Kulkarni.

Berpegang kepada visi komuniti berkongsi nasib sesama insan, China bekerjasama dengan negara lain untuk mempertahankan multilateralisme jitu, mengekalkan kestabilan rantaian bekalan global, memantapkan perdagangan dan pelaburan bebas, dan mengejar pembangunan hijau dan rendah karbon. 

Daripada sokongan kukuh terhadap ekonomi dunia yang terbuka hinggalah komitmen teguh terhadap pengurangan karbon dan neutral karbon, iltizam China berjaya diterjemahkan menerusi tindakan praktikal.

Presiden Kyrgyzstan Sadyr Zhaparov meluahkan rasa kagum dengan moto Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing, iaitu ‘Together for a Shared Future’ ketika dijemput menghadiri majlis perasmian temasya berprestij itu.

“Moto itu satu seruan kepada masyarakat antarabangsa supaya bergerak ke arah membina komuniti berkongsi nasib sesama insan.

“Dalam konteks globalisasi, semua negara, tak kira besar atau kecil, berkongsi nasib dan masa depan,” kata beliau kepada pemberita Xinhua baru-baru ini.

Di mata bekas Perdana Menteri Jepun Yukio Hatoyama, saranan Xi untuk membina komuniti berkongsi nasib sesama insan adalah sangat relevan dan diperlukan pada era ini.

Menurut Hatoyama, visi berkenaan sangat penting bagi dunia untuk mengelak berlakunya perpecahan dan menangani cabaran, dan bagi Asia untuk menjaga keamanan dan menggalakkan pembangunan bersama.

“Di Bumi kita hidup, bukan hanya alam sekitar yang berfungsi sebagai satu keseluruhan, umat manusia juga saling berkaitan,” ujar beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here