KUALA LUMPUR, 26 Okt — Kementerian Dalam Negeri bercadang mewujudkan pusat sehenti bagi melancarkan penyiasatan sesuatu kes yang melibatkan aspek forensik.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pusat sehenti berkenaan turut akan melibatkan Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kimia bagi memudahkan pengumpulan maklumat selain mempercepatkan proses siasatan sesuatu kes.

“Pusat sehenti berkenaan perlu dibantu pegawai KKM, JPN, Jabatan Kimia serta agensi berkaitan dalam memperoleh data yang diperlukan.

“Sekiranya ada kaedah yang baik dengan pusat sehenti yang mencukupi, saya yakin kita akan menyelesaikan kes dengan cepat…dan suspek boleh dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Sains Forensik Kebangsaan Untuk Penguatkuasaan Undang-undang(NAFSLE) 2022 di Maktab Polis Diraja Malaysia, di Cheras, di sini, hari ini.

Hamzah berkata selain penguatkuasaan, pusat sehenti itu juga dapat digunakan oleh agensi lain seperti Jabatan Imigresen Malaysia dalam menyelesaikan sesuatu siasatan.

Beliau berkata ia juga dapat memberi peluang kepada rakyat tempatan menceburi bidang sains forensik selain mempertingkatkan kerjasama di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Hamzah turut mencadangkan satu elaun khas diberikan kepada pegawai penyiasat forensik. 

“Satu siasatan kes memerlukan masa yang lama dan kadang-kadang (melibatkan perjalanan) jauh maka kita akan cadang elaun khusus ini,” katanya menambah kajian terperinci perlu dibuat sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata kepesatan teknologi menyebabkan modus operandi kegiatan jenayah masa kini semakin mencabar dan sukar diselesaikan dengan menggunakan kaedah penyiasatan konvensional.

“Maka dalam hal ini, bantuan teknikal dan analisis forensik memudah serta mempercepatkan proses siasatan yang membolehkan pertuduhan dibuat dengan asas bukti yang kukuh,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here