MELAKA, 28 Okt — Golongan wanita hamil dan ibu baru lepas bersalin yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) masih boleh menjalani pemeriksaan susulan kesihatan.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata adalah penting memastikan mangsa banjir khususnya wanita hamil dan ibu sedang berpantang, tetap terpelihara meskipun terpaksa tinggal di PPS yang ruangnya terhad dan sesak.

“Jadi wanita hamil dan yang baru bersalin boleh memaklumkan petugas di PPS agar pemeriksaan tersebut boleh diaturkan dengan doktor yang ditugaskan di kawasan terjejas.

“Apa yang penting, sentiasa bawa ‘buku merah jambu’ dan semua rekod pemeriksaan kesihatan bagi memudahkan petugas mendapatkan maklumat kehamilan dan bayi anda,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dr Muhamad Akmal berkata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) juga mempunyai pelan kontigensi seandainya petugas kesihatan klinik kesihatan atau klinik desa di kawasan terjejas banjir atau PPS tidak mencukupi selain sentiasa dalam keadaan siap siaga.

“Malah kita juga akan segera menggerakkan doktor, jururawat dan petugas kesihatan dari klinik kesihatan berhampiran untuk berkhidmat di kawasan diperlukan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here