KUCHING, 5 Nov – Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Parlimen Santubong Datuk Seri Nancy Shukri, menganggap perpindahannya ke kawasan itu dari Parlimen Batang Sadong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebagai kepulangannya ke kampung.

“Saya memang berasal dari kawasan Parlimen Santubong tinggal di Kampung Panglima Seman Lama dan masih menjadi pengundi dari kampung ini,” katanya kepada pemberita selepas selesai proses pencalonan untuk kawasan parlimen itu hari ini.

Nancy, yang merupakan penyandang Parlimen Batang Sadong selama tiga penggal sejak 2008, mengakui tugas mencabar dihadapinya dalam memastikan kemenangan GPS di Parlimen Santubong, berikutan peningkatan mendadak jumlah pengundi di situ.

Beliau berkata kawasan Santubong, lebih sub-bandar berbanding dengan Batang Sadong yang merupakan kawasan luar bandar.

Bagaimanapun, menerusi rekod perkhidmatan cemerlang penyandang empat penggal Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dalam kawasan itu, Nancy yakin kemenangan akan berpihak kepada GPS.

Pada PRU15 19 Nov ini, Nancy ditentang Mohamad Zen Peli (PH-Amanah) dan Affendi Jeman (Bebas) bagi kerusi Santubong yang mempunyai seramai 79,540 pengundi berdaftar.

Sementara itu, Mohamad Zen berkata PH-Amanah memfokus kepada isu nasional dengan matlamat kemenangan mereka untuk mengangkat Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Affendi, yang mendakwa menjadi penyokong tegar Barisan Nasional pula berkata beliau ingin “membawa nikmat”  serta angin perubahan dan pembangunan untuk rakyat di Santubong.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here