PADANG BESAR, 8 Nov — Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) buat pertama kali masing-masing mempertaruhkan calon berketurunan siam termasuk calon muda untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kedua-dua calon ini melahirkan rasa bertuah kerana diberi peluang bertanding dalam PRU kali ini, walaupun masyarakat siam merupakan kaum minoriti di negeri  ini.

Hakikatnya, mereka ingin menjadikan aspirasi anak muda sebagai misi utama dalam kempen bagi mengangkat suara anak muda yang sebelum ini hanya cenderung melontarkan pendapat di media sosial.

Calon kerusi Indera Kayangan yang mewakili PN-Bersatu, Pramoot a/l Puan, 52

Natthavuth a/l Seng, 26, calon PH-PKR yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)  Chuping, berkata anak muda harus diberikan peluang memimpin negara, sebagaimana yang dipraktikkan di negara maju.

“Tidak dinafikan bahawa kerajaan sebelum ini ada memberi peluang kepada generasi muda, namun kita harap pada masa akan datang lebih ramai lagi anak muda diberi peluang untuk mentadbir negara kerana mereka adalah pewaris negara kita suatu hari nanti,” kata anak jati Chuping itu kepada Bernama di sini hari ini.

Natthavuth, yang merupakan bekas jurutera di sebuah syarikat antarabangsa berkata anak muda kini bijak menilai pemimpin manakah yang sesuai untuk mentadbir negara.

Turut berkongsi pendapat yang sama calon kerusi Indera Kayangan yang mewakili PN-Bersatu, Pramoot a/l Puan, 52, berkata anak muda kini sebenarnya bijak dalam membuat penilaian.

“Kita mahu mewakili mereka dan bawa suara mereka ini ke peringkat atasan,” katanya yang pernah berkhidmat dalam sektor perbankan selama lebih 20 tahun.

Anak jati tempatan itu berkata suara anak muda ini semakin penting dalam memacu pertubuhan negara menjadi lebih proaktif dan harus diberi perhatian.

Mengikut data yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sehingga 9 Okt terdapat 198,784 pengundi di Perlis berumur antara 18 hingga 39 tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here