ALOR SETAR, 12 Nov — Gerakan Tanah Air (GTA) mengharapkan sokongan masyarakat Cina pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana undi kaum itu boleh menentukan kemenangan parti yang bersaing di kerusi yang ditandingi, kata Pengerusi Penaja GTA Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Di Malaysia ini, ada kawasan yang majoriti penduduk Cina, orang Melayu jadi minoriti. Ada kawasan yang majoriti penduduk Melayu, orang Cina jadi minoriti…orang Melayu ini dah pecah empat.

“Kalau orang Cina bagi sokongan kepada mana-mana parti pun, parti itu akan menang…jadi saya harap orang Cina akan bantu Gerakan Tanah Air,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama masyarakat Cina di Pekan Cina di sini hari ini.

GTA merupakan gabungan yang ditunjangi empat parti Melayu iaitu Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), serta gabungan badan bukan kerajaan yang membentuk Gagasan Bangsa (GB).

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang, berkata beliau melihat sokongan masyarakat Cina terhadap Pejuang yang merupakan antara parti dalam GTA adalah positif setakat ini.

“Pejuang parti Melayu bukan anti-Cina tetapi anti-Melayu yang tak baik…kita nak dirikan kerajaan baharu yang terdiri daripada orang yang bersih daripada semua jenis kesalahan jenayah,” katanya.

“Saya berjumpa dengan banyak grup (masyarakat) Cina, dan terangkan kepada mereka kenapa Gerakan Tanah Air ini parti Melayu, (dan) mereka faham,” katanya Malaysia akan kembali menjadi ‘Harimau Asia’ apabila kerajaan yang lebih baik diwujudkan selepas PRU15 nanti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here