SUNGAI BULOH, 13 Nov — Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bukti kepada pihak berkuasa berhubung dakwaannya mengenai anggota tentera di Bera, Pahang, sudah mengundi awal untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan dibayar RM300 untuk berbuat demikian.

Beliau berkata ini berikutan kenyataan Presiden PKR itu semalam yang memaklumkan beliau mempunyai bukti berhubung dakwaan tersebut dan akan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Dia (Anwar) kata sudah ada bukti dan sepatutnya dibawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sepetang Bersama Pemimpin, di sini, hari ini. 

Hishammuddin turut menjelaskan bahawa proses undi pos adalah kebiasaan buat warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas dan tidak dapat hadir pada hari pengundian. 

“Apa tujuan dia (Anwar) membuat dakwaan itu dan sehingga hari ini tidak terjawab,” katanya dan menyifatkan kenyataan Anwar, selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH), itu telah menimbulkan kemarahan warga ATM.

SPR menetapkan 15 Nov sebagai hari pengundian awal manakala hari pengundian adalah pada 19 Nov ini. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here