JAKARTA, 23 Nov — Pasukan marin Tentera AS dan Angkatan Bersenjata Kebangsaan Indonesia mengadakan Latihan Marin Keris (MAREX) selama 15 hari yang akan berakhir Jumaat ini, kata Kedutaan AS di Jakarta.

Dalam satu kenyataan, ia berkata latihan dua hala yang julung kali diadakan di kawasan latihan Piabung di Pesawaran, Lampung, bermatlamat menggalakkan kebolehoperasian ketenteraan dan keupayaan kesedaran domain maritim.

Pengarah strategi komunikasi dan operasi Pasukan Giliran Marin-Asia Tenggara Kapten Larry Boyd berkata latihan itu membangunkan teknik penyelesaian masalah dua hala dan menjalin ikatan persahabatan.

“Yang paling penting, dalam persekitaran hari ini dalam keadaan dunia yang menghadapi satu demi satu krisis, latihan seperti Keris MAREX menjadi semakin penting.

“Latihan ini menyerlahkan kekuatan dan kestabilan hubungan AS-Indonesia dan mempromosi wilayah Indo-Pasifik yang bebas, terbuka dan makmur,” katanya.

Sekurang-kurangnya 180 anggota Marin AS dan 260 anggota marin Republik Indonesia dari Batalion Marin ke-7, berlatih bersama-sama sepanjang Keris MAREX tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here