PUTRAJAYA, 6 Dis — Pembangunan dan pemerkasaan peranan kerajaan tempatan serta membangunkan potensi pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai organisasi kukuh kewangan, antara tujuh fokus utama Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau yang memulakan tugasnya secara rasmi hari ini berkata perkara itu termasuk perancangan perumahan yang lebih komprehensif dengan mengambil kira isu-isu pemilikan dan pembinaan rumah serta pemerkasaan komuniti agar peranan komuniti dalam pembangunan bandar dapat ditingkatkan. 

“(Ini termasuk) pengurusan sisa pepejal yang lebih efektif dan efisien dengan meningkatkan kaedah pengurusan sisa sebagai sumber tenaga. Saya juga akan melihat kepada alternatif terbaik dalam menguruskan sisa pepejal negara, melalui kaedah berteknologi tinggi. 

“… (selain itu) memperkukuhkan agenda bandar pintar dan bandar selamat. Saya akan melihat pencapaian dan keberkesanan yang dicapai dalam Rangka kerja Bandar Pintar Malaysia 2019-2025…mungkin perlu melihat satu pengukuran indikator yang baharu supaya agenda ini lebih berdaya maju dan berkesan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Nga berkata tumpuan juga diberikan ke arah memperkukuhkan kesiapsiagaan pasukan bomba dan penyelamat agar pasukan itu dapat memberi perkhidmatan secara cekap dan berkesan.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Datuk M Noor Azman Taib, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Muhammad Razman  Abu Samah, Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) Datuk Azhar Ahmad, serta Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Persekitaran Mampan) Datuk Saidatu Akhma Hassan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata beliau menyokong penuh potongan gaji sebanyak 20 peratus bagi jemaah menteri selain mengumumkan pejabatnya akan mengamalkan ‘polisi tiada hadiah’ bermula hari ini.

“Saya rela dan lega kerana ini adalah tanggungjawab dan amanah yang penting… ini adalah mesej jelas yang ingin disampaikan Kerajaan Perpaduan bahawa kita bekerja untuk merasai keperitan rakyat,” katanya.

Beliau juga berkata Ketua Setiausaha diminta untuk menyampaikan misi kementerian bagi memperkasakan khidmat kerajaan tempatan seperti pengurusan sampah dan longkang  kepada Yang Dipertua Majlis Daerah dan Perbandaran di 155 PBT seluruh negara.

Diminta mengulas mengenai cadangan melaksanakan semula pilihan raya kerajaan tempatan, beliau berkata perkara itu bukan keutamaan buat masa ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here