RIYADH, 9 Dis — China bersetuju menyenaraikan Arab Saudi sebagai destinasi perjalanan berkumpulan (group travel) dan memperluas pertukaran kakitangan, budaya dan rakyat antara kedua-dua negara, kata Presiden China Xi Jinping.

Beliau berkata demikian semasa perbincangannya dengan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Saudi Mohammed bin Salman Al Saud di Riyadh pada Khamis.

Xinhua melaporkan putera mahkota Arab Saudi bagi pihak Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, mengalu-alukan lawatan negara Xi dan mengucapkan tahniah atas kejayaan Kongres Kebangsaan Parti Komunis China (PKC) ke-20 serta pemilihan semula Xi sebagai setiausaha agung Jawatankuasa Pusat PKC.

Berdasarkan situasi antarabangsa dan serantau yang mengalami perubahan besar serta kompleks, Xi berkata kepentingan strategik dan keseluruhan hubungan China-Arab Saudi kini lebih menonjol dan China meletakkan pembangunan hubungan dengan Arab Saudi sebagai keutamaan dalam keseluruhan dasar luar, khususnya dalam diplomasinya di Timur Tengah.

Xi berkata China menyokong inisiatif pembangunan termasuk Wawasan 2030 Arab Saudi dan Inisiatif Hijau Timur Tengah dan menggesa kedua-dua pihak mensinergikan Inisiatif Jalur dan Laluan dan Wawasan 2030, bagi menggalakkan kerjasama antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang untuk meningkatkan keberhasilan.

China akan bekerjasama dengan Arab Saudi untuk menjadikan Sidang Kemuncak China-Arab dan Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama China-Teluk (GCC) sebagai peristiwa penting dalam sejarah pembangunan hubungan negara China-Arab dan hubungan China-GCC selain mempromosikan hubungan itu kepada tahap baharu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here