ISKANDAR PUTERI, 11 Dis — Seramai 177 Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar dengan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) menerusi Unit Pembangunan Orang Kurang Upaya (UPOKU) telah ditempatkan bekerja di sektor awam dan swasta di Johor, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini diberitahu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Khairin-Nisa Ismail @ Md On berkata jumlah tersebut berdasarkan pendaftaran yang direkodkan YPKDT sejak 2011 hingga Oktober tahun ini.

“Seramai 997 OKU telah berdaftar dengan YPKDT, daripada jumlah itu, seramai 177 OKU telah ditempatkan bekerja di sektor awam dan swasta. 

“Dengan kepesatan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup yang tinggi, demi memastikan OKU yang telah berdaftar tetapi tidak dapat ditempatkan bekerja di sektor terbuka mendapat sumber pendapatan, maka YPKDT juga telah memperkenalkan inisiatif program menjana pendapatan sendiri kepada OKU,” katanya pada Persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini.

Beliau menjawab soalan Amira Aisya Abd Aziz (PH-Puteri Wangsa) yang ingin tahu pelan bagi memperkasakan golongan OKU untuk berniaga dari rumah disebabkan oleh akses mobiliti yang terbatas. 

Khairin-Nisa (BN-Serom) berkata bermula pada 2017-2018, Program Zero to Hero ‘Melestari Pembangunan Sosio-Ekonomi OKU’ telah diadakan dan seramai 136 OKU daripada pelbagai kategori telah mengikuti program tersebut. 

Bagi tempoh 2019 hingga 2021 pula, YPKDT telah memperkenalkan Program Latihan dan Promosi (PLP) bagi melatih 144 OKU mahir dalam pelbagai aspek termasuk teknikal, ekonomi serta meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan.

Meskipun pada 2020, ketika negara berdepan dengan wabak COVID-19, PLP tetap diteruskan dengan pelaksanaan Kursus Asas Kemahiran secara dalam talian melibatkan 49 peserta. 

Menurut beliau sepanjang tahun ini, Program Bangkit OKU telah diperkenalkan dengan seramai 85 orang telah mengikuti kursus berkenaan.

 Beliau berkata inisiatif berkenaan dilaksanakan sebagai usaha memperkasakan OKU di lapangan bagi tujuan penempatan pekerjaan dan menjana pendapatan.

“Daripada jumlah keseluruhan OKU yang terlibat (2017-2020), seramai 45 OKU telah menerima bantuan peralatan perniagaan dan mereka berjaya menghasilkan pendapatan sendiri serta menggandakan hasil jualan. 

“Sesungguhnya kerajaan negeri melalui JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan YPKDT sentiasa cakna dalam mengupayakan dan memajukan golongan OKU di negeri Johor khususnya supaya mereka mampu mengharungi cabaran kehidupan dari sudut ekonomi untuk masa kini dan masa akan datang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here