PUTRAJAYA, 13 Dis — Timbalan Menteri Pendidikan yang baharu, Lim Hui Ying berazam untuk memberikan perkhidmatan terbaik dalam membantu meningkatkan taraf pendidikan negara.

Lim berkata beliau juga akan memberikan sokongan penuh kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bagi memastikan agenda mengangkat mutu pendidikan negara dapat dicapai.

“Saya akan membantu menteri untuk menaikkan taraf pendidikan di negara ini. Sebanyak mungkin kita akan buat yang terbaik dan saya akan memberikan sokongan penuh kepada Menteri Pendidikan untuk menaikkan taraf pendidikan negara.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keyakinan beliau kepada saya untuk menanggung jawatan ini,” katanya ketika ditemui selepas memulakan tugas rasmi di pejabatnya di sini, hari ini.

Lim yang juga Ahli Parlimen Tanjong memulakan tugas sebagai Timbalan Menteri Pendidikan hari ini dengan mengimbas kad perakam waktu pada 8.25 pagi tadi.

Ketibaan beliau disambut Fadhlina dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Yusran Shah Mohd Yusof serta Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali.

Lim adalah antara 27 timbalan menteri yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, Sabtu lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here