KOTA KINABALU, 15 Dis — Kerjasama utuh perlu bagi memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara yang diterajui Kerajaan Perpaduan dapat membantu meletakkan Malaysia di landasan yang tepat.

Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, semua pihak perlu kurangkan berpolitik dan sama-sama memberi fokus menyelesaikan isu-isu rakyat dan masalah ekonomi yang dijangka lebih mencabar pada tahun depan.

“Kita akan mengadakan perjumpaan pada Jumaat (esok) bagi menandatangani perjanjian antara Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti lain dan saya juga akan hadir.

“Kita akan membantu daripada awal untuk membolehkan kestabilan politik, masalah rakyat yang begitu ketara amat membimbangkan kita. Jadi, kurangkanlah berpolitik kerana apa yang penting adalah meletakkan negara ini pada landasan sepatutnya.

“Saya bimbang negara-negara lain tidak akan menunggu untuk meneruskan pelaburan di Malaysia. Ekonomi dunia pula akan lebih mencabar pada tahun depan malah, lebih teruk.

“Maka, kita jika kita lihat daya tahan negara ini hanya ergantung kepada keadaan kestabilan politik,” katanya ketika ditanya mengenai keadaan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormati Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, Michael Newbill di kediamannya semalam.

Mengenai situasi politik Sabah, Ahli Parlimen Semporna itu berkata, kestabilan politik di peringkat negeri juga perlu diberi keutamaan kerana pergolakan politik yang berlaku di Sabah sejak kebelakangan ini amat membimbangkan.

Beliau berkata, tindakan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar parti menimbulkan ketidakstabilan politik di Sabah.

Walaupun Akta Anti Lompat Parti di peringkat Persekutuan telah diluluskan tapi malangnya, amalan lompat parti ini masih lagi dilakukan dan keadaan itu membimbangkan.

“Situasi yang berlaku harus menjadi peringatan kepada ahli-ahli politik. Itu sebabnya, semasa Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan, saya nasihatkan mereka supaya tidak melompat.

“Saya tahu banyak cubaan untuk menarik mereka kerana mungkin ada yang tidak cukup (kerusi), kemungkinan ada yang memerlukan sokongan. Perkara sebegini sepatutnya dihentikan, bukannya ada kebaikan sebaliknya, ia hanya melahirkan suasana politik yang tidak stabil,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, masalah politik di Persekutuan perlu diselesaikan terlebih dahulu kerana di situ adalah nadi dan kemuncak politik negara.

Mohd. Shafie berkata, pergolakan politik di Sabah banyak bergantung dengan keadaan di peringkat Pusat, begitulah keadaan sejak dari dahulu.

Maka, penting bagi memastikan kestabilan politik di peringkat Pusat kerana peranan Kerajaan Persekutuan begitu penting kepada suasana politik di Sabah, Sarawak serta di negeri-negeri lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here