KUALA LUMPUR, 16 Dis — Identiti 11 mayat mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor yang dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat setakat 4 petang ini, belum dikenal pasti.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata pasukan perubatan forensik hospital tersebut sedang mengumpul maklumat antemortem daripada waris mangsa bagi mempercepatkan proses pengecaman mayat sementara menunggu perintah post-mortem daripada pihak polis.

“Kita ada prosedur yang ketat, selagi belum terima arahan post-mortem, proses bedah siasat tidak akan dilakukan,” katanya kepada pemberita di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.

Dr Zaliha berkata prosedur saringan COVID-19 akan turut dilakukan ke atas mayat sebelum proses bedah siasat dimulakan.

Selain itu, beliau berkata pasukan forensik daripada beberapa hospital di sekitar Lembah Klang telah dihantar bagi membantu proses bedah siasat di hospital itu.

Pihak hospital menjangkakan beberapa lagi mayat akan tiba dalam masa terdekat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here