GEORGE TOWN, 18 Dis — Dua restoran di negeri ini, Auntie Gaik Lean’s Old School Eatery dan Au Jardin, tidak putus-putus menerima tempahan selepas dianugerahkan bintang Michelin.

Auntie Gaik Lean’s Old School Eatery menyajikan hidangan Peranakan Pulau Pinang manakala Au Jardin menawarkan hidangan pesona makanan Perancis dengan sedikit pengaruh makanan tempatan.

Pemilik Auntie Gaik Lean’s Old School Eatery, Adrian Tan berkata pihaknya menerima lebih 1,000 panggilan telefon daripada pelanggan berhubung tempahan serta pertanyaan mengenai restoran itu.

“Kami menerima lebih 20 tempahan menerusi panggilan telefon dan ramai pelanggan yang beratur untuk mencuba makanan kami.

“Ada seorang pelanggan yang beratur hampir sejam. Katanya berbaloi menunggu,” kata Tan yang mengasaskan restoran itu bersama ibunya, Beh Gaik Lean.

Beliau berkata makanan berkualiti, harga berpatutan dan khidmat pelanggan yang baik adalah faktor penting yang menarik lebih ramai pelanggan ke restoran itu.

Katanya, sebelum menerima satu bintang Michelin, orang kenamaan turut singgah di restoran yang telah beroperasi selama sembilan tahun itu untuk menikmati sajian Peranakan Pulau Pinang asli disediakan ibunya yang berusia 60 tahun.

“Dulu ibu bekerja di sebuah restoran di Kuala Lumpur. Pada 2013, saya bawa dia balik ke Pulau Pinang dan mulakan tempat makan berciri old-school ini.  Kami mahu orang ramai mengenali dan merasai makanan Peranakan Pulau Pinang kami,” katanya.

Mengenai penilaian anugerah bintang Michelin, Tan berkata pemeriksa Michelin Guide datang tanpa mendedahkan siapa mereka dan menilai setiap aspek dengan teliti.

“Saya tidak tahu bila mereka datang sini. Mereka tidak memberitahu siapa mereka dan melakukan penilaian. Kami bersyukur menerima satu anugerah bintang Michelin,” katanya. 

Sementara itu pemilik yang juga ketua tukang masak Au Jardin, Su Kim Hock berkata beliau menerima sekitar 160 tempahan selepas menerima bintang Michelin dan sangat gembira dapat mewakili Pulau Pinang dalam arena ini.

Pemeriksa Michelin yang tidak dikenali menilai restoran berdasarkan lima bahagian iaitu kualiti bahan-bahan, kepakaran memasak, keharmonian rasa, personaliti tukang masak menerusi hidangan dan konsistensi berasaskan masa dan keseluruhan menu.

Mengulas mengenai pemeriksa Michelin Guide, katanya beliau tidak tahu bila mereka datang untuk memeriksa restoran itu.

“Pelanggan setia kami kebanyakannya adalah orang tempatan. Mereka yang membantu kami mengekalkan perniagaan ini pasca-COVID-19.

“Selepas sekatan COVID-19 ditamatkan, kami cuba mengubah menu setiap minggu dan melalui itu, telah berjaya menarik lebih ramai warga tempatan,” katanya.

Beliau berkata makanan berkualiti dengan bahan-bahan bermutu tinggi, suasana restoran dan khidmat pelanggan adalah faktor yang menggamit lebih ramai pengunjung ke Au Jardin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here