KUALA LUMPUR, 3 Julai — Telekom Malaysia Bhd (TM), bekerjasama dengan Huawei Technologies (M) Sdn Bhd, memperkenalkan perkhidmatan Cloud a (Cloud Alpha) TM ONE yang menawarkan awan, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, operasi awan dan infrastruktur AI awan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkata perkhidmatan itu akan membolehkan syarikat, perusahaan dan sektor awam Malaysia memperoleh beberapa perkhidmatan pengkomputeran awan yang lebih luas mulai Oktober tahun ini.

“Perkongsian dengan Huawei Technologies (M) Sdn Bhd akan membolehkan TM mempercepatkan  penyelesaian dan perkhidmatan digital untuk negara serta pada masa sama melangkah ke arah sebagai satu-satunya penyedia perkhidmatan infrastruktur awan menyeluruh milik Malaysia.

“Kami akan dapat menawarkan keseluruhan perkhidmatan awan kepada pelanggan kami merangkumi infrastruktur sebagai satu perkhidmatan (IaaS), platform sebagai satu perkhidmatan (PaaS) dan perisian sebagai satu perkhidmatan (SaaS) yang standard,” katanya pada majlis pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) di antara TM ONE dengan Huawei di sini, hari ini.

MoA itu ditandatangani oleh Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif TM ONE, Ahmad Taufek Omar; Naib Presiden (Jualan) TM ONE, Mohd Roslan Mohd Rashidi; Naib Presiden (Kumpulan Perniagaan Rangkaian Penyedia) Huawei Malaysia, Zac Chow; dan Naib Presiden (Awan dan AI) Huawei Malaysia, Lim Chee Siong.

Pemeteraian itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Noor Kamarul berkata perkhidmatan itu meliputi antaranya Penyelesaian Industri, Perkhidmatan Aplikasi Perusahaan, Data Raya dan penyelesaian Internet Pelbagai Benda (IoT).

Beliau berkata Cloud merupakan perkhidmatan yang akan membolehkan pelanggan TM ONE turut menikmati perkhidmatan dan platform awan sedia untuk masa depan dan cekap, selamat dan boleh dipercayai untuk memacu transformasi digital masing-masing.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Michael Yuan berkata pihaknya akan memainkan peranan pembangunan yang lebih proaktif dalam menyediakan infrastrukitur dan ekosistem yang sedia untuk menyokong aspirasi kerajaan bagi transformasi industri dan pembinaan lebih banyak pusat AI negara, di samping membimbing lebih ramai bakat awan dan AI di Malaysia.

“Selain pembangunan bakat, MoA itu juga menggariskan beberapa inisiatif untuk menggalakkan lagi awan dan transaksi data asing kembali ke Malaysia serta meletakkan negara ini sebagai peneraju dalam era awan dan AI,” katanya.

Zahidi dalam ucapannya berkata usaha menerusi perkongsian TM ONE dan Huawei Malaysia itu akan menyokong lagi aspirasi ekonomi digital kerajaan untuk menawarkan perkhidmatan dan penyelesaian digital kepada negara.

“Malaysia kini akan menumpukan pertumbuhan ekonomi dan ke arah meraih manfaat penuh Revolusi Perindustrian 4.0. Justeru, MoA hari ini merupakan satu langkah dalam hala tuju yang tepat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here