KUALA LUMPUR, 28 Dis — Penerbangan tambang rendah AirAsia menawarkan penerbangan tambahan pada tambang rendah tetap di antara Semenanjung dengan Sabah/Sarawak dari 17 hingga 30 Jan, 2023 sempena sambutan Tahun Baharu Cina akan datang.

Terbang dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, serta dari Johor Bahru ke Kuching, Sibu dan Miri pada hanya RM199 sehala manakala dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Tawau, serta Johor Bahru ke Kota Kinabalu pada hanya RM249 sehala.

Semua tempat duduk akan tersedia untuk tempahan mulai 28 Dis, 2022.

“Selain 52 penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap ke enam destinasi popular di Sabah dan Sarawak, AirAsia juga mengendalikan 274 penerbangan mingguan pada tambang biasa ke destinasi yang sama,” menurut AirAsia.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata kerajaan berbesar hati kerana AirAsia terus komited untuk menyokong inisiatif kerajaan untuk menurunkan tambang penerbangan semasa musim perayaan, meskipun terdapat kekangan operasi.

“Walaupun mereka tidak dapat meningkatkan lebih kekerapan penerbangan kerana kekurangan pesawat seperti apa yang dialami oleh semua syarikat penerbangan, kita memuji kerja keras mereka untuk menambah penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap untuk menghubungkan keluarga, terutama dari dan ke Sabah dan Sarawak,” katanya semasa merasmikan pelancaran promosi itu di ibu pejabat AirAsia, RedQ di Sepang dekat sini, pada Rabu.

Beliau menggalakkan syarikat penerbangan lain untuk turut melancarkan inisiatif yang sama atau lain yang boleh mengurangkan tambang penerbangan terutama semasa musim perayaan.

“Sempena sambutan tahun baharu ini, kita berharap untuk terus bekerjasama dengan pemain industri seperti AirAsia untuk memenuhi keperluan dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam berkata sebagai syarikat penerbangan untuk semua, pihaknya melakukan yang terbaik untuk menghubungkan para tetamu pada tambang berpatutan walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam operasi.

“Beberapa tahun kebelakangan ini adalah amat sukar untuk semua dan walaupun industri perjalanan kini semakin pulih, kami tidak dapat menambah penerbangan seperti sedia kala berikutan kesan susulan pandemik.

“Namun, di sebalik kos operasi yang semakin meningkat dan kekurangan jumlah pesawat, kami terus berusaha dan komited untuk menyatukan semula rakyat Malaysia sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang akan datang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here