GEORGE TOWN, 30 Dis — Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Pinang dapat disegerakan pelaksanaannya bagi mengatasi masalah banjir yang dihadapi oleh penduduk di kawasan sekitar sejak sekian lama.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo berkata beliau akan ke Putrajaya minggu depan untuk berjumpa dengan menteri berkaitan bagi membincangkan perkara itu.

“RTB Sungai Pinang itu merupakan projek rancangan tebatan banjir yang paling besar di Pulau Pinang membabitkan Sungai Pinang sejauh 2.7 kilometer dan melibatkan kos keseluruhan lebih kurang RM600 juta, jika siap ia akan memberi kesan positif berhubung masalah banjir bukan sahaja di kawasan tersebut (Sungai Pinang) malah turut melibatkan kawasan berhampiran termasuk bandar George Town.

“RTB itu merupakan projek jangka masa panjang dalam mengatasi masalah banjir sebab itu saya minta ia dapat dimulakan secepat mungkin dan ia sebenarnya melibatkan beberapa fasa iaitu fasa pertama membabitkan jarak 1.4 kilometer dari Jalan Jelutong ke Kampung Rawa.

“Fasa satu itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf sungai, antaranya mendalamkan dan melebarkan Sungai Pinang di kawasan tersebut dan telah pun tender pada 20 Sept lepas dengan perkembangan terkini sekarang ini di peringkat Lembaga Perolehan Kementerian Kewangan,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan lawatan di RTB Sungai Pinang, di sini hari ini.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata beliau komited untuk menangani masalah banjir di kawasan Datuk Keramat iaitu lokasi RTB Sungai Pinang dijalankan.

Katanya kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah menjalankan lima projek  antaranya menaik taraf sistem perparitan dan menaikkan aras di Jalan P. Ramlee telah berjaya dilaksanakan sejak 2018 yang sebelum ini menjadi antara punca berlakunya banjir di kawasan tersebut.

“Bagi lima projek di kawasan Jalan P.Ramlee itu melibatkan kos RM5.4 juta dan setakat ini kita boleh lihat masalah banjir di kawasan terlibat dapat diatasi, ini yang penduduk di situ mahukan.

“Selain projek menaik taraf itu, kami juga melaksanakan projek jangka masa pendek dan sederhana bagi mengatasi masalah banjir di kawasan terlibat bagi memastikan permasalahan banjir dibendung dan dikurangkan,” katanya.

Sementara itu, mengenai Taman Tema Air Bertam Resort & Water Park di Kepala Batas, dekat sini yang ditutup sejak Rabu kerana beroperasi tanpa lesen, Jagdeep berkata Majlis Bandaraya Seberang Perai (MPSP) sedang menjalankan siasatan.

Semalam MBSP dalam kenyataan memaklumkan taman tema yang baru dibuka pada 15 Dis lepas itu telah dikeluarkan notis supaya pihak pengurusan menghentikan aktiviti hiburan taman tema air di bawah Enakmen Hiburan Dan Tempat-tempat Hiburan 1998 kerana beroperasi tanpa lesen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here