KUALA LUMPUR, 11 Jan — UMNO mesti  meneroka potensi politik yang bersesuaian dengan keadaan semasa bagi mengelakkan kehilangan undi Melayu dan tidak mendapat undi bukan Melayu, yang akan menjadi resepi kematian buat parti itu.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata untuk itu parti mestilah meneroka strategi lautan biru sekiranya ingin memastikan kelangsungan.

“Sokongan masyarakat bukan Melayu merosot dengan amat drastik, semenjak beberapa pilihan raya umum lepas. Sehingga dalam keadaan tertentu, kita tewas kerana tidak mampu mendapat walau lima peratus sokongan daripada mereka. Telah lama kita abaikan, undi golongan bukan Melayu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di sini malam ini.

Turut hadir tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan dan ketua ketiga-tiga sayap.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata dengan pendirian yang diambil UMNO dalam menyokong penubuhan Kerajaan Perpaduan,  ia mungkin akan membuka ruang untuk masyarakat bukan Melayu, membina semula keyakinan kepada UMNO bahawa UMNO adalah parti yang rasional serta mengutamakan rakyat, perpaduan dan kepentingan nasional.

Menyentuh mengenai penyertaan UMNO dan BN dalam Kerajaan Perpaduan, Mohamad berkata sokongan parti tidak membuta tuli sebaliknya merundinginya dengan cermat.

Beliau berkata UMNO akan berperanan dalam kerajaan, dengan memperjuangkan dasar yang lebih baik, idea yang lebih bernas, amalan yang lebih telus dan pemikiran yang lebih besar dan pragmatik. 

“Walaupun UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan, UMNO akan menjadi wadah semak dan imbang, yang tegas dan benar-benar efektif,” katanya.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan dalam pada itu berkata penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah jalan terbaik kerana ia memberikan UMNO peranan yang unik dan strategik.

“Saya faham bahawa ramai yang mempersoalkan mengapa kita memilih untuk bekerjasama dengan PH (Pakatan Harapan).

“Pokoknya, UMNO tidak menyertai PH, ataupun membelakangkan PN (Perikatan Nasional). Kita memilih, mengutamakan Malaysia,” katanya dan menambah sokongan itu berikutan UMNO merasa bertanggungjawab untuk tampil dan menjadi penyelesai kepada usaha pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Mohamad berkata bekerjasama dengan PH, telah menjadikan UMNO parti yang akan mewakili, kepentingan Melayu terbesar dalam kerajaan. 

“Ini adalah sesuatu yang tidak akan dapat UMNO lakukan jika menyertai kerajaan pimpinan PN kerana UMNO berada dalam kedudukan ketiga sebagai kuasa politik Melayu, dalam perikatan sedemikian,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here