KUALA LUMPUR, 11 Jan — Jemaah Menteri bersetuju mengenai cadangan penubuhan  Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi meneliti secara holistik Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata penubuhan RCI itu adalah selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) yang terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata penubuhan RCI itu diputuskan selepas meneliti syor-syor dicadangkan Pasukan Petugas Khas dipengerusikan Datuk Seri Fong Joo Chung dalam laporan yang dibentangkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Kerajaan memandang serius terhadap dakwaan yang melibatkan pelanggaran tanggungjawab profesional suatu jawatan tertinggi. Hal ini kerana ketelusan dan akauntabiliti adalah asas kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan dan institusi kerajaan. 

“Oleh itu, cadangan Terma Tauliah RCI ini akan mempunyai skop yang lebih luas dan tidak terhad kepada syor-syor yang telah dikemukakan oleh Pasukan Petugas Khas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya RCI itu bertujuan mencari kebenaran serta mengemukakan syor kepada kerajaan untuk reformasi institusi perundangan negara dan bukannya untuk mencari kesalahan mana-mana pihak.

Azalina berkata Terma Tauliah yang terperinci, keahlian dan tempoh RCI ini akan dicadangkan kemudian oleh kerajaan.

‘My Story: Justice in the Wilderness’ merupakan karya bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas yang diterbitkan pada Januari 2021 dan penuh dengan pelbagai kontroversi menyebabkan Kabinet menubuhkan Pasukan Petugas Khas untuk menjalankan kajian awalan berhubung pendedahan yang terkandung dalam buku itu pada Oktober tahun sama.

Pada 13 Okt tahun lepas, kerajaan pada ketika itu menyahklasifikasi laporan pasukan petugas khas yang antara lain mengesyorkan supaya Thomas disiasat atas kemungkinan melakukan pelbagai kesalahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here