MELAKA, 14 Jan — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) komited untuk terus membantu mempromosi serta membangunkan Melaka sebagai antara destinasi unggul di Malaysia. 

Menteri berkenaan Datuk Seri Tiong King Sing berkata perhatian akan diberi dalam langkah mengetengahkan keunikan seni, budaya dan warisan Melaka, produk pelancongan serta kepelbagaian gastronomi sebagai pemangkin utama pertumbuhan sektor pelancongan dan kebudayaan negara.

Beliau berkata ini termasuk peruntukan RM1 juta daripada kerajaan pada 2010 untuk membina Taman Warisan Dunia Jonker Walk yang meliputi Pentas Utama Jonker Walk dan Pintu  Gerbang Jonker Walk. 

“Pada tahun 2022, MOTAC telah menambah peruntukan sebanyak RM250,000 untuk menaik taraf Taman Warisan Dunia Jonker Walk termasuk membaik pulih pintu gerbang, bumbung, tandas awam, penggantian jubin lantai dan papan tanda.

 “Uniknya di sini terdapat sepasang singa batu yang dihadiahkan oleh Kerajaan Rakyat Perbandaran Nanjing,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

Terdahulu, Ting mengadakan lawatan kerja sehari ke Melaka.

Antara agenda lawatan itu ialah melawat agensi di bawah MOTAC iaitu Hotel Seri Malaysia dan Kompleks Kraftangan yang memaparkan demonstrasi kraf, anyaman rotan, mencanting batik dan kunjungan ke Galeri Jualan Karyaneka. 

Beliau turut berkunjung ke lokasi tarikan utama pelancong iaitu Taman Seribu Bunga, Muzium Sejarah dan Ethnografi, Galeri Warisan dan Pusat Maklumat Pelancong (TIC).

Tiong juga menyempurnakan perasmian Taman Warisan Dunia Jonker Walk Melaka sebelum mengakhiri lawatan kerja itu dengan Majlis Perasmian Karnival Tahun Baharu Cina dan sesi tinjauan mesra di Uptown Jonker Walk Melaka. 

“Adalah menjadi harapan saya melalui lawatan kerja seperti ini, ia secara tidak  langsung turut mempromosi tempat-tempat yang boleh dilawati sekitar Melaka. 

“Kita di MOTAC mahu membantu semua pihak yang terlibat dalam ekosistem  pelancongan, seni dan budaya agar terus utuh serta mampu menaik taraf hidup dengan lebih maju lagi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here