GEORGE TOWN, 18 Jan – Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi tujuan pelupusan bangkai babi yang dijangkiti wabak demam babi Afrika (ASF).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerjasama ini adalah untuk mengenal pasti tanah milik PDC yang boleh digunakan untuk menanam bangkai babi yang terbabit.

“Cara penanaman adalah paling sesuai kerana bilangan bangkai yang banyak, oleh itu cara pelupusan melalui pembakaran tidak sesuai.

“PDC mempunyai tanah yang boleh digunakan, tanah ini belum sedia untuk dijual kepada pihak industri. Kita berharap tanah ini jauh daripada penempatan untuk mengelakkan impak kepada mana-mana pihak,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri masih belum mengetahui nilai kerugian dari segi eksport setelah tidak dibenarkan berbuat demikian akibat wabak ASF.  

Beliau turut berkata bahawa bekalan daging babi di Pulau Pinang masih mencukupi walaupun wabak ASF telah menjejaskan 11 ladang babi komersial setakat ini.

“Pulau Pinang tidak akan membawa masuk daging babi dari negeri lain,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here