LAGOS, 25 Jan — Majlis perasmian projek pelabuhan air dalam Lekki di Nigeria, projek yang melibatkan pelaburan, pembinaan dan kendalian oleh Syarikat Kejuruteraan Pelabuhan China (CHEC) berlangsung di Lagos, barat daya Nigeria, pada Isnin.

Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari menyifatkan pengoperasian pelabuhan Lekki sebagai dorongan kepada negaranya untuk membuka lembaran baharu dalam pembangunan ekonomi dan pengeksportan hasil pertanian setempat selain menambah pendapatan negara dalam mata wang asing.

Beliau berkata projek itu juga akan menawarkan banyak peluang pekerjaan di samping membantu kerajaan Nigeria merealisasikan matlamat pembanterasan kemiskinan.

Sementara itu, Duta China ke Nigeria, Cui Jianchun berkata pelabuhan Lekki berpotensi untuk menjadi satu daripada pelabuhan paling moden dan cekap di rantau selatan Sahara serta enjin baharu yang mendorong pembangunan ekonomi Nigeria itu adalah contoh kepada tekad transformasi syarikat China daripada kontraktor kepada pelabur dan pengendali.

Gabenor Lagos, Babajide Sanwo-Olu yang turut hadir pada majlis perasmian itu berkata sebagai pelabuhan terbesar di Nigeria, Lekki mampu memuatkan kapal pengangkut kontena paling besar di dunia.

Beliau berkata Lekki turut diyakini dapat menggalakkan perdagangan luar negara, menyuntik kedinamikan baharu bagi pembangunan ekonomi, menyediakan banyak peluang pekerjaan serta menambah baik kesejahteraan hidup rakyat tempatan.

Sebagai pelabuhan air dalam pertama di Nigeria serta satu daripada pelabuhan terbesar di rantau Afrika Barat, projek Lekki mula dibina pada Jun 2020 dan siap pada Oktober 2022 dengan muatan 1.2 juta TEU setahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here