JOHOR BAHRU, 27 Jan — Pengurusan emosi serta melaksanakan aktiviti untuk mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) antara tugas penting yang dilaksanakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap kali bencana itu menimpa.

Pengarah JKM Negeri Johor Mohamad Hapil berkata jabatan itu selaku Ketua Jawatankuasa Aktiviti di PPS, berperanan melaksanakan sokongan psikologi, intervensi krisis dan menjalankan aktiviti bagi mangsa di PPS.

Beliau berkata dengan menjalankan aktiviti di PPS, misalnya dapat membantu dari segi pengurusan emosi mangsa banjir serta mengisi masa lapang supaya perasaan mereka stabil ketika di PPS.

“Kebimbangan mangsa banjir termasuk risau keselamatan barang-barang di rumah, tanaman dan ternakan serta sudah penat kerana setiap tahun menjadi mangsa bencana itu.

“Apabila PPS dibuka, aktiviti di PPS adalah satu daripada bidang kuasa JKM. Bila kita laksanakan aktiviti itu macam tempoh bertenang bagi mereka. 

“Ia penting untuk memastikan emosi mangsa tidak terganggu, jangan termenung sehingga terlalu memikirkan mereka dilanda bencana sekali gus membawa kepada gangguan psikologi mereka,” kata beliau kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohamad berkata antara intervensi dan pengisian yang dilaksanakan kepada warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan orang dewasa adalah bimbingan individu, bimbingan kelompok, mewarna batik, membuat sulaman serta mereka bentuk belon.

Antara aktiviti dan intervensi kepada kanak-kanak serta remaja pula adalah permainan minda, seni pasir, puzzle 3D, mewarna beg DIY (lakukan sendiri), bermain UNO dan sebagainya.

Beliau berkata selain pengurusan emosi dan aktiviti, JKM yang dibantu sejumlah sukarelawan turut menyediakan bekalan makanan bermasak kepada mangsa dan petugas di PPS serta tugas-tugas lain.

Setakat 25 Jan lepas, JKM telah menggerakkan seramai 120 warga kerja untuk bertugas di PPS termasuk stor bencana daerah serta bilik gerakan bencana daerah dan negeri selain 78 orang sukarelawan JKM yang bertugas di PPS yang telah diaktifkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here