HONG KONG, 3 Feb — China akan membenarkan sepenuhnya perjalanan merentasi sempadannya dengan Hong Kong dan Macau minggu depan, menghapuskan keperluan ujian COVID-19 dan kuota harian selepas sekatan ketat yang panjang. 

Bandar separa autonomi itu sebelum itu berpegang kepada strategi sifar-COVID-19 Beijing selama hampir tiga tahun hingga memecah belah keluarga, memutuskan pelancongan dan melumpuhkan perniagaan. 

Pejabat Hal Ehwal Hong Kong dan Majlis Negeri Macau berkata, semua sekatan akan digugurkan mulai tengah malam pada 6 Februari, dengan lawatan berkumpulan dibenarkan untuk disambung semula. 

Perjalanan terhad merentasi sempadan antara Hong Kong dan tanah besar China disambung semula pada Januari selepas Beijing secara tiba-tiba membatalkan dasar pengasingannya. 

Pada mulanya, hanya 60,000 orang dibenarkan merentas setiap hari ke mana-mana arah dan mereka dikehendaki menunjukkan ujian saringan negatif. 

Pemisahan Hong Kong yang panjang daripada sumber pertumbuhan terbesarnya dianggarkan menelan belanja sebanyak AS$27 bilion (RM115.22 bilion) kepada hab kewangan itu. 

Penduduk tanah besar sekian lama menjadi sebahagian besar pelawat ke Hong Kong, dengan kira-kira 51 juta tiba pada 2018, hampir tujuh kali ganda penduduk bandar itu. 

Pegawai bandar berharap kedatangan pelawat akan menghidupkan semula ekonomi yang dilanda kemelesetan, menyuntik wang tunai ke dalam sektor pelancongan dan peruncitan yang pernah rancak. 

Pemimpin Hong Kong, John Lee, berkata pengembara luar negara yang tidak diberi vaksin akan dibenarkan melawat Hong Kong mulai Isnin, tetapi ujian antigen pantas sebelum ketibaan masih diperlukan. 

“Memandangkan pembukaan semula sepenuhnya sempadan dengan tanah besar China akan membawa lonjakan besar dalam perjalanan, untuk memastikan risiko terurus, kami akan mengekalkan keperluan ujian untuk pelancong luar negara untuk tempoh pemerhatian,” katanya. 

Pelancaran semula penuh perjalanan dengan tanah besar berlaku sehari selepas Lee melancarkan kempen penjenamaan semula untuk menarik pelancong luar negara, menjanjikan lebih setengah juta penerbangan percuma dan “tiada pengasingan, tiada kuarantin dan tiada sekatan”. 

Pelitup muka tetap diwajibkan di Hong Kong, walaupun polisi itu boleh dibatalkan selepas lonjakan selesema musim sejuk.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here