ANKARA, 9 Feb – Turkiye sedang berusaha untuk membuka dua lagi pintu sempadan bagi membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan kepada negara jirannya Syria yang turut dilanda gempa bumi kuat, kata Menteri Luar Mevlut Cavusoglu pada Rabu.

“Pintu sempadan Cilvegozu sudah dibuka. Kami sedang berusaha untuk membuka dua lagi pintu… Kami juga menyediakan sokongan yang diperlukan untuk bantuan sampai ke Syria,” kata Cavusoglu kepada pemberita pada sidang media bersama yang turut dihadiri Naib Presiden Turki Fuat Oktay, lapor Xinhua .

Sementara itu, Jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Stephane Dujarric berkata jalan menuju ke Lintasan Sempadan Bab al-Hawa dari Turkiye ke utara Syria mengalami kerosakan menyebabkan penghantaran bantuan ke barat laut yang dikuasai pemberontak terganggu buat sementara waktu.

Dujarric berkata PBB sedang menyediakan konvoi untuk menyeberang ke Syria tetapi itu mungkin memerlukan perjanjian baharu dengan kerajaan Presiden Syria Bashar al-Assad.

Bab al-Hawa, di seberang pintu gerbang Cilvegozu Turkiye, satu-satunya laluan untuk bantuan PBB masuk ke kawasan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here